Ahad, 24 Jun 2018 | 7:10pm
KAPTEN Croatia, Luka Modric muncul antara pemain paling menyerlah di Piala Dunia setakat ini. - Foto REUTERS

Modric tidak pernah dihargai - Lovren

SAINT PETERSBURG: Pertahanan Croatia, Dejan Lovren percaya, bakat yang ada pada Luka Modric tidak pernah dihargai dan rakan sepasukannya itu mungkin memenangi gelaran Ballon d'Or jika dia mewakili Sepanyol atau Jerman.

Modric muncul antara pemain paling menyerlah di Piala Dunia setakat ini, menjaringkan gol dalam dua perlawanan awal bagi membolehkan Croatia memimpin Kumpulan D.

Jaringan keduanya dianggap cukup menarik apabila ia dihasilkan pada jarak 25 ela dan membantu kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Argentina sekali gus melengkapkan duka Lionel Messi - pemenang lima gelaran Ballon d'Or.

Modric pula tidak pernah berjaya menyelit ke dalam kelompok tiga teratas anugerah berkenaan.


LUKA Modric melepaskan rembatan untuk jaringkan gol kedua Croatia ketika membenam Argentina 3-0. - Foto REUTERS

"Adalah satu penghormatan bagi saya untuk bermain bersama-sama Luka Modric. Ketika ini dia adalah antara pemain terbaik dunia," kata Lovren di pangkalan latihan Croatia di Roshchino.

"Modric mungkin mendapat lebih perhatian jika dia dilahirkan di Jerman atau Sepanyol. Dia juga mungkin sudah memenangi Ballon d'Or.

"Tetapi disebabkan negara kami lebih kecil, kehebatannya tidak begitu dipedulikan. Dia tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Kita semua meminati bola sepak dan kita tahu Modric adalah seorang pemain hebat."

Croatia layak ke pusingan kalah mati dan perbezaan jaringan besar bermakna kedudukan selaku juara kumpulan juga seakan sudah berada dalam tangan sekali gus membuatkan jurulatih, Zlatko Dalic merehatkan sebahagian besar pemain utama untuk bertemu Iceland, Selasa ini.


DEJAN Lovren (kiri) cuba menghalang percubaan penyerang Argentina, Sergio Aguero pada aksi Kumpulan D Piala Dunia. - Foto EPA

Enam pemainnya termasuk Ivan Rakitic, Ante Rebic serta Mario Mandzukic masing-masing sudah mengumpul kad kuning dan jika dikenakan satu lagi kad amaran sebelum separuh akhir, mereka akan digantung satu perlawanan.

Tetapi Argentina dan Nigeria masing-masing berharap Croatia akan mengatasi Iceland bagi mencerahkan peluang mereka untuk ke pusingan kedua selaku naib juara.

"Saya sangat faham kehendak Argentina dan kalau boleh mereka mahu Croatia menurunkan skuad utama untuk perlawanan selepas ini," kata Lovren.

"Tetapi kami tidak boleh menurunkan pemain yang sudah mengumpul satu kad kuning. Kami perlu utamakan perjuangan pasukan."

Croatia memiliki kelebihan untuk menurunkan skuad kedua dan berkemungkinan bertemu Denmark di pusingan kalah mati nanti.

"Ketika ini, tidak ada pasukan yang benar-benar hebat berbanding pasukan lain," kata Lovren. - AFP

Berita Harian X