Ahad, 24 Jun 2018 | 10:22am
PEMAIN Portugal, Cristiano Ronaldo. - Foto EPA-EFE

Ronaldo terus pacu Portugal

SARANSK, Russia: Cristiano Ronaldo bersedia untuk membawa negaranya mara ke saingan kalah mati Piala Dunia menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan awal pagi Selasa menentang bekas jurulatih negara berkenaan, Carlos Queiroz dan Iran.

Ronaldo dan Queiroz kedua-duanya tampil buat kali keempat di Piala Dunia (sebagai jurulatih dan pemain) dan hubungan mereka terjalin sejak ketua pasukan Portugal itu  tiba di Manchester United pada 2003.

Jurulatih berusia 65 tahun itu berkhidmat sebagai penolong Alex Ferguson sebelum ke Real Madrid iaitu kelab yang disertai Ronaldo pada 2009 dengan Queiroz berperanan untuk memudahkan perpindahan berkenaan.

Bagaimanapun, hubungan mereka menjadi renggang selepas Portugal tersingkir di pusingan kedua kepada Sepanyol di Piala Dunia 2010, di mana Ronaldo menyalahkan Queiroz di atas kekalahan berkenaan.

Portugal seterusnya tersingkir di peringkat kumpulan empat tahun lalu di Brazil tetapi Ronaldo setakat ini mengetuai perjalanan mereka di Russia dengan meledak kesemua empat gol pasukannya setakat ini.

"Jangkaan kami adalah meneruskan tugas dan cuba untuk mempertingkatkan prestasi dalam saingan peringkat kumpulan. Kami semakin hampir (ke pusingan kalah mati) dan selepas itu kita akan lihat bagaimana untuk peringkat seterusnya," kata Ronaldo selepas jaringan awal yang dilakukan ketika menentang Maghribi membantu Portugal menyamai empat mata dengan pendahulu Kumpulan B, Sepanyol.

Ronaldo ketika ini berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak bersama penyerang Belgium, Romelu Lukaku sekali gus meninggalkan pencabar utama, Lionel Messi yang bergelut bersama Argentina di peringkat kumpulan.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos menganggap dirinya sangat bertuah kerana memiliki ketua pasukan yang sudah berusia 33 tahun namun menunjukkan prestasi luar biasa.

Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui beliau lebih memilih Ronaldo berbanding Messi untuk diletakkan dalam pasukannya.

 "Messi sangat bagus namun ia jelas menunjukkan sekarang ini dia hanya terbaik apabila dikelilingi pemain yang hebat (di Barcelona)," kata Simeone.

Pertahanan Portugal, Pepe yang rakan sepasukan Ronaldo di Real, berkata, ia satu keistimewaan buat negara yang mempunyai pemain pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali. - AFP

 

Berita Harian X