Sabtu, 23 Jun 2018 | 9:19pm
JURULATIH Perancis, Didier Deschamps mungkin merehatkan beberapa pemain utamanya apabila menentang Denmark, Selasa ini. - Foto AFP

Perancis tak peduli lawan pusingan kedua

ISTRA: Masalah yang melanda Argentina bermakna Perancis mungkin bertemu gergasi Amerika Selatan itu di pusingan kalah mati Piala Dunia tetapi hakikat berkenaan langsung tidak menjejaskan impian Les Bleus untuk mengungguli Kumpulan C apabila dijadualkan menentang Denmark, Selasa ini terutamanya selepas dikritik hebat jurulatih lawan.

Jika berjaya mengelak daripada ditewaskan di Moscow, Perancis akan bertemu pasukan yang menamatkan saingan peringkat Kumpulan D selaku naib juara dan Argentina yang hanya berbekalkan satu mata selepas dua perlawanan, mungkin menduduki tempat berkenaan.

"Sasaran kami ialah menduduki tangga teratas kumpulan kerana ia akan memberikan kami lebih keyakinan," kata pertahanan, Djibril Sidibe yang menambah dia sudah cergas sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Les Bleus sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menang 2-1 ke atas Australia dan 1-0 ke atas Peru.

"Tidak ada sebab mengapa kami perlu mengendurkan rentak," kata Sidibe.


PERTAHANAN Perancis, Djibril Sidibe (tiga dari kiri) mula jalani latihan bersama pasukan selepas kembali cergas sepenuhnya daripada kecederaan lutut. - Foto EPA

Selain itu, apa yang membuatkan pemain Perancis berang ialah jurulatih Denmark, Age Hareide pernah berkata bahawa Perancis tidak memiliki apa-apa keistimewaan dan beliau langsung tidak mempercayai kehebatan pasukan terbabit.

Sidibe berkata, Perancis akan memastikan pengendali berkenaan menelan kembali kata-katanya itu.

"Beliau bebas untuk berkata apa saja. Tetapi kami akan menggunakan kata-katanya itu untuk melonjakkan motivasi kami," kata Sidibe.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mungkin merehatkan beberapa pemain utamanya dan Sidibe yang terpaksa menyerahkan posisinya kepada Benjamin Pavard, berharap dapat terus bersinar pada perlawanan menentang Denmark.

"Impian saya sudah tentunya mahu bermain dalam perlawanan sempurna.

"Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada pemilihan jurulatih," katanya.

Berita Harian X