Sabtu, 23 Jun 2018 | 12:25am
JURULATIH Atletico Madrid, Diego Simeone. - Foto REUTERS

Simeone pilih Ronaldo berbanding Messi

BRONNITSY, Russia: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mengkritik skuad Argentina pada kempen Piala Dunia dengan menyatakan isu 'anarki' di dalam dan luar padang mengakibatkan juara dunia dua kali itu berdepan penyingkiran di pusingan awal.

Bekas pemain antarabangsa Argentina itu berkata, skuad Argentina kurang daya kepimpinan dalam dan luar padang susulan kekalahan 0-3 kepada Croatia bagi saingan Kumpulan D.

Dan ketika ditanya mengenai prestasi bintang Argentina, Lionel Messi, Simeone mengakui jika diberi pilihan akan memilih pencabar dari Portugal Cristiano Ronaldo untuk berada dalam pasukannya.

"Apa yang berlaku sekarang adalah sama seperti berlaku dalam skuad kebangsaan empat tahun lalu, iaitu anarki," kata Simeone. 

"Tiada daya kepimpinan ditunjukkan oleh pihak pengurusan atau individu yang diberi tanggungjawab untuk memimpin pasukan. Saya hanya melihat pasukan yang lemah."

Dengan Messi bergelut dengan prestasinya dan masih gagal mencetak jaringan di Russia, Simeone memberi bayangan bahawa beliau lebih berminat untuk memiliki Ronaldo dalam pasukannya.

"Messi pemain yang sangat bagus, tapi ia jelas bahawa dia sangat bagus kerana dia dibantu pemain hebat di sekelilingnya di Barcelona," jelas Simeone.

"Soalannya jika anda diberi pilihan untuk memilih Messi dan Ronaldo dalam pasukan biasa, siapa yang anda pilih?"

Argentina hanya mengumpul satu mata selepas dua perlawanan dan perlu menewaskan Nigeria pada aksi terakhir kumpulan sambil mengharapkan keputusan perlawanan lain memihak kepada mereka untuk mara ke pusingan kedua.

Meskipun nasib pasukan itu tidak menentu, Simeone masih menaruh harapan tinggi bahawa Argentina masih mampu untuk mara ke pusingan kalah mati.

"Pasukan itu bermasalah tapi ini adalah Argentina dan saya percaya mereka masih boleh melakukannya," kata Simeone. - AFP

Berita Harian X