Jumaat, 22 Jun 2018 | 10:57am
IVAN Perisic (kanan) melihat Lionel Messi mengawal bola ketika beraksi di Piala Dunia, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Argentina mesti bijak gunakan Messi

NIZHNIY NOVGOROD, Russia: Ivan Perisic memuji kualiti dimiliki Lionel Messi, namun menegaskan Argentina hanya berjaya jika bermain sebagai satu unit selepas mereka tunduk 0-3 di tangan Croatia pada aksi Piala Dunia, awal pagi tadi.

Perisic memperagakan aksi kemas di Nizhny Novgorod yang menyaksikan kesilapan Willy Caballero memberikan gol pembukaan kepada Ante Rabic.

Gol Luka Modric dan Ivan Rakitic selepas itu membolehkan Croatia mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak edisi 1998 di Perancis.

Argentina pula berada di ambang penyingkiran memandangkan kemenangan Iceland ke atas Nigeria akan memberi kelebihan buat pasukan kerdil itu mengiringi Croatia ke pusingan seterusnya.

Messi dikawal ketat oleh barisan pertahanan Croatia dan pemain sayap Inter Milan itu menjelaskan Argentina mesti tahu untuk bekerjasama jika mahukan Messi mencapai apa yang dilakukan oleh Cristiano Ronaldo di kejohanan besar.

"Messi adalah antara pemain yang terbaik seperti Ronaldo, namun anda hanya boleh meraih sesuatu jika beraksi sebagai satu pasukan. Argentina perlu berubah untuk maju ke hadapan.

"Bagi kami, kami berada di landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian di Perancis dan perlu terus bekerja keras.

"Kami beraksi dengan baik. Di bilik persalinan, kami mengatakan betapa kami perlu bertahan dengan kemas dan itulah yang berjaya kami lakukan.

"Kami memiliki beberapa peluang di babak pertama dan jaringan diperolehi selepas rehat. Kami layak meraih enam mata ini jadi kini kami mahu menumpaskan Iceland pula." - Agensi

Berita Harian X