Khamis, 21 Jun 2018 | 11:33pm
PEMAIN JDT II, Mohamad Khairullah Abdul Halim diasak pemain Pulau Pinang, Ugochukwu Ukah ketika perlawanan Liga Perdana 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JDT II teruskan derita Pulau Pinang

PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bangkit untuk memastikan Pulau Pinang terus menderita di tangga tercorot liga apabila menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi. 

Keputusan itu melonjakkan JDT II ke tangga keenam selepas mengumpul 20 mata manakala skuad kendalian Zainal Abidin Hassan masih kekal di tangga tercorot liga dengan hanya mengutip 12 mata dan berada di zon penyingkiran ke Liga FAM musim depan.

Percubaan menarik tuan rumah hadir pada minit ke-16 apabila bola sepakan percuma Nicolas Fernandez menuju tepat ke gawang gol namun penjaga gol, Amirul Asyraf Suhaidi menangkap kemas bola walaupun cuba diasak Darren Lok.

Selepas gerakan menarik itu, kedua-dua pasukan tampak beraksi dengan corak permainan berhati-hati apabila sering berlegar di kawasan tengah untuk mengintai ruang melakukan gerakan bagi mengasak ke kubu lawan masing-masing.

Serangan balas skuad Harimau Kumbang pada minit ke-23 dengan Kang Seung-jo yang cuba menyusup masuk ke dalam kotak penalti gagal melakukan penyudah selepas Bruno Soares bingkas menghalang pemain import dari Korea selatan itu.

Bola rembatan deras Amirulhadi Zainal di luar kotak penalti hampir menjelmakan gol buat rumah pada minit ke-32 namun Amirul Asyraf bertindak berani dengan melayangkan badan dan menepis bola keluar.

Pelawat mengambil kesempatan mengejutkan tuan rumah pada minit ke-79 berpunca daripada sepakan percuma Raimi Md Nor yang menyaksikan bola tepat kepada Ugo Ukah yang menanduk menewaskan Haziq Nadzli.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian, D Saarvindran menceriakan kem tuan rumah apabila merembat bola leret untuk menyamakan jaringan pada minit ke-87.

Ketika aksi memasuki minit kecederaan, tuan rumah gembira membawa pulang tiga mata selepas Fernandez menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan dramatik 2-1 menewaskan skuad Harimau Kumbang.

Berita Harian X