Sabtu, 16 Jun 2018 | 6:39pm

Malaysia tuan rumah bersama Piala Dunia 2034?

KUANTAN: Malaysia mampu menyertai tiga lagi negara Asia Tenggara yang lain untuk melakukan bidaan bagi menganjurkan Piala Dunia 2034 sekali gus kali pertama di rantau ini.

 

Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan induk dari tiga negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah menyatakan hasrat bersepakat membida menjadi tuan rumah Piala Dunia pada tahun berkenaan.

 

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau masih belum pasti mengenai hasrat Malaysia tapi merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak terbesar itu.

 

"Saya rasa ia bukan satu masalah jika negara kita menunjukkan minat untuk membida menjadi tuan rumah 2034. Ia terpulang kepada FAM dan kerajaan untuk membuat keputusan.

 

"Asia Tenggara mempunyai peluang dan kelebihan untuk menjadi tuan rumah secara bersama kerana ia membenarkan tiga atau empat negara sama seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selepas memenangi perubatan tuan rumah 2026.

 

"Ini adalah masanya buat negara Asia Tenggara diberi peluang dan ia akan membolehkan setiap negara mempertingkatkan kemudahan dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing. Masih lagi mempunyai masa," katanya kepada wartawan ketika ditemui di rumah terbuka sempena Aidilfitri di Istana Abdul Aziz di sini, hari ini.

 

Tengku Abdullah yang baru saja pulang dari menyertai Kongres FIFA KE-68 di Moscow, Russia berkata, walaupun belum ada perbincangan secara menyeluruh mengenai negara yang akan membida Piala Dunia 2034, namun beliau percaya perancangan rapi bakal membuka peluang buat negara Asia Tenggara yang menunggu lama detik menjadi tuan rumah.

 

Jika Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah 2034, Tengku Abdullah berkata, masih lagi mempunyai tempoh panjang untuk memperkemaskan infrastruktur termasuk stadium di dalam negara agar ia kelihatan lebih moden termasuk dari segi reka bentuk dan konsep.

 

Mengenai cadangan menambah bilangan negara menyertai Piala Dunia kepada 48 pasukan sekali gus membenarkan Asia Tenggara memperoleh slot istimewa tanpa perlu mengharapkan kuota Asia, Tengku Abdullah berkata, perkara berkenaan boleh dibangkitkan tapi ia perlu mematuhi formula tertentu.

 

Pada Julai tahun lalu, Naib Presiden Persekutuan Bolasepak Indonesia (PPSI), Joko Driyono mengumumkan negara berkenaan bersedia mengetuai pakatan negara Asia Tenggara yang bercita-cita membida bagi tuan rumah Piala Dunia 2034.

 

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula dilaporkan berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan negara Asia Tenggara dalam usaha untuk membida menjadi tuan rumah secara bersama pada Piala Dunia 2034.

 

Katanya, Malaysia berminat menjadi satu daripada tuan rumah kejohanan berkenaan.

Tarikh akhir untuk mendaftar membida menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 ialah pada 2026.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui penganjuran bersama Piala Dunia 2034 memerlukan kajian rapi sebelum dapat dilaksanakan.

Katanya, FAM perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak khususnya kerajaan pusat kerana ia membabitkan pelaburan yang tinggi.

"Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenainya, namun jika kita hendak membida menjadi tuan rumah bersama, kita perlu melakukan kajian membabitkan semua aspek.

"Dan EXCO FAM juga perlu membincangkan dan sekali gus memutuskannya sebelum cadangan ini dapat diajukan kepada kerajaan Pusat bagi kelulusan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X