Isnin, 11 Jun 2018 | 4:45pm
PEMAIN Pahang, Nor Azam Azih (dua dari kanan) cuba menghalang pemain JDT, Fernando Gaston Elizari Sedano pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin Johor Bahru, minggu lalu. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tok Gajah tempang layan JDT

KUANTAN: Pahang terpaksa turun tanpa dua tonggak utama apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Dua pemain itu adalah Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih, masing-masing digantung perlawanan kerana kad merah dan kad kuning.

Ia disahkan pengurus Datuk Mohammed Suffian Awang yang mengakui skuad Tok Gajah perlu bekerja keras apabila melayan kunjungan Harimau Selatan itu.

"Kami akan beraksi tanpa dua tonggak utama (Safuwan dan Azam) yang pasti memberi kesan terhadap persembahan pasukan, malam esok.

"Ini kerana mereka adalah kesebelasan utama ketika pasukan tewas tipis 0-1 kepada JDT Jumaat lalu dan ia sedikit sebanyak menjejaskan percaturan pasukan.

"Tapi sebagai pasukan yang mementingkan semangat kerja sepasukan, saya percaya mereka akan mempamerkan persembahan meyakinkan," katanya.

Ditanya peluang mengutip tiga mata di laman sendiri, Suffian berkata, kembalinya Austin Amutu selepas pulih daripada kecederaan akan membantu memperkasakan jentera serangan.

"Sudah pasti saya mahu Amutu dan Issey Nakajima dapat membantu pasukan mencatat kemenangan selepas mereka menyertai kami pada jendela perpindahan baru-baru ini."

Berita Harian X