Jumaat, 8 Jun 2018 | 8:35pm
SETIAUSAHA Agung AFC, Datuk Windsor Paul John. - Foto Osman Adnan

Thailand, Indonesia cabar bidaan Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih perlu menunggu mengenai keputusan bidaan selaku tuan rumah pusingan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun (B-23) pada Januari 2020 selepas Indonesia dan Thailand turut berminat menganjurkannya.

Malaysia dan dua lagi negara jiran itu sudah mengemukakan bidaan pada Mac lalu kepada AFC dan keputusan hanya diketahui pada 28 Ogos depan.   

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang menyatakan pihaknya akan melakukan penilaian teliti terhadap bidaan tiga negara berkenaan. 

"Keputusan siapa yang akan menjadi tuan rumah hanya akan kita umumkan pada 28 Ogos, jadi kita masih ada masa untuk membuat penilaian setiap negara yang berminat itu.

"Semua aspek akan diambil kira dari segi venue pertandingan, kemudahan pengangkutan, penginapan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Misi untuk mendapatkan hak selaku penganjur cukup penting buat FAM kerana selain mendapat slot automatik bertanding di pusingan akhir, sokongan penyokong sendiri amat ditagih skuad muda negara.   

Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi penganjuran kejohanan itu bakal memainkan peranan penting dalam misi mereka memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kita berharap bidaan ini akan berjaya kerana beraksi di laman sendiri pasti akan menyuntik semangat pemain. Pusingan akhir ini penting kerana empat pasukan terbaik akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Jurulatih Datuk Ong Kim Swee bakal diberi tanggungjawab sekali lagi membimbing pasukan selepas melakar sejarah layak ke suku akhir buat kali pertama di China, awal tahun ini.

Berita Harian X