Khamis, 31 Mei 2018 | 4:23pm
PENYERANG LA Galaxy, Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol ketika bertemu FC Dallas.

Dua gol Ibra belum cukup

LOS ANGELES: Zlatan Ibrahimovic kembali dari penggantungan satu perlawanan dan meledak dua gol namun itu belum mencukupi apabila Los Angeles Galaxy tewas 3-2 di tangan FC Dallas pada aksi di laman sendiri.

Galaxy memenangi dua aksi berturut-turut di laman sendiri dan mengharapkan momentum sama dapat diteruskan dengan kembalinya Ibrahimovic yang digantung satu perlawanan apabila menerima kad merah susulan menampar pemain Montreal, Michael Petrasso pada 21 Mei.

Namun FC Dallas mengukuhkan statusnya selaku pencabar Western Conference Liga Bolasepak Major (MLS) apabila selesa mendominasi permainan sebelum tuan rumah cuba bangkit pada separuh masa kedua.

Ryan Hollingshead meledak gol pertamanya musim ini pada minit ke-33 sebelum hantaran lintangnya disudahkan menerusi tandukan Cristian Colman pada penghujung babak pertama.

Dallas mendahului 3-0 pada minit ke-66 selepas Carlos Gruezo menampan bola yang ditepis penjaga gol, David Bingham yang cuba menepis percubaan Michael Barrios untuk gol ketiga perlawanan.

Ibrahimovic akhirnya memecah kebuntuan buat Galaxy apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-69 dan tuan rumah memiliki kelebihan selepas Colman dibuang pada pada minit ke-80.

Peluang ini dimanfaatkan oleh Ibrahimovic yang meledak gol kedua pada masa tambahan babak kedua namun keputusan 3-2 tetap berpihak kepada pelawat. - AFP

Berita Harian X