Khamis, 24 Mei 2018 | 7:15am
CARLO Ancelotti. - Foto AFP

Ancelotti janji Napoli gelaran Serie A

MILAN: Carlo Ancelotti berjanji untuk menamatkan kemarau 28 tahun Napoli bagi menjulang gelaran Serie A selepas dia sah dilantik jurulatih kelab itu menggantikan Maurizio Sarri dengan kontrak tiga tahun.

Ancelotti yang dipecat Bayern Munich, September lalu mengambil alih tempat Sarri yang meninggalkan Stadium San Paolo selepas menamatkan kempen musim ini di tangga kedua di belakang Juventus.

Napoli tidak pernah menjulang trofi Seria A sejak dikemudi legenda Argentina, Diego Maradona yang mengetuai kelab itu menjuarai dua gelaran pada 1987 dan 1990.

"Saya amat gembira untuk kembali ke negara saya dan untuk bersama dengan salah satu pasukan terbaik di Itali," kata Ancelotti dalam satu kenyataan dalam laman web peribadinya.

"Sasaran adalah untuk menakluk Scudetto selepas 28 tahun. Kami semua teruja dengan cabaran ini dan bersedia untuk membuka babak baharu dalam bola sepak."

Tugasan di Napoli adalah yang pertama buat Ancelotti di Itali sejak meninggalkan AC Milan pada 2009 selepas membantu kelab itu menjuarai Scudetto dan dua gelaran Liga Juara-Juara.

Anak lelakinya, Davide dan menantunya, Mino Fulco turut berada dalam staf kejurulatihan Napoli.

Ancelotti melengkapkan perjanjian, awal pagi tadi (waktu Itali) dengan Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis kemudian mengesahkan pemergian Sarri daripada kelab itu menerusi Twitter.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Maurizio Sarri atas sumbangan berharganya terhadap Napoli," kata De Laurentiis.

"Dia membawa kegembiraan dan juga prestij ke Naples dan peminat Napoli di seluruh dunia dengan jenama bola sepak yang menghiburkan dan mendapat banyak pujian. Tahniah Maurizio."

Selain Bayern, Ancelotti pernah mengemudi Chelsea, Real Madrid dengan perjanjiannya bersama Napoli dikatakan bernilai  6.5 juta euro (RM30.3 juta) setahun.

Ancelotti yang pernah memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara selain kejuaraan liga domestik di Itali, Perancis, Jerman dan England akan diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih baharu kelab itu pada 9 Julai ini.

Sementara itu, Sarri dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea dan kelab Russia, Zenit Saint Petersburg. - AFP

Berita Harian X