Isnin, 21 Mei 2018 | 1:38pm
PENYERANG baru Pahang, Austin Amutu sedang menjalani latihan bersama pasukan di Stadium Darul Makmur. - Foto ihsan Pahang FA

Amutu sandaran Tok Gajah

KUANTAN: Gandingan Patrick Cruz dan Austin Amutu menjadi sandaran utama skuad Pahang apabila bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, malam esok.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, kehadiran Amutu menggantikan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan serius dapat menambah bisa di bahagian serangan skuad itu.

"Sudah pasti saya mahu lihat gandingan dua penyerang import ini memberi impak besar terutama berkaitan persefahaman dan kemampuan mereka merobek gawang lawan.

"Pada masa sama, Issey Nakajima yang turun buat kali pertama dalam pasukan ini diyakini memberi lebih kekuatan di bahagian tengah, sekali gus membantu jentera serangan diketuai Cruz dan Amutu.

"Dengan kehadiran dua pemain baharu dalam pasukan, saya percaya skuad Tok Gajah kembali bersedia untuk melonjakkan prestasi untuk meraih kejayaan membanggakan musim ini," katanya.

Ditanya peluang mengutip tiga mata di Alor Setar malam esok, Dollah mengharapkan skuad kendaliannya itu dapat merekodkan kemenangan biarpun bakal berdepan cabaran sengit memandangkan Helang Merah mempamerkan peningkatan.

"Kami tidak boleh terlepas sebarang mata kerana misi utama adalah untuk kembali mengejar pasukan di tangga teratas memandangkan jurang lapan mata dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Oleh itu, semua pemain diharap tidak mengecewakan saya kerana misi utama meraih tiga mata untuk kembali memberi saingan di kedudukan teratas," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X