Isnin, 21 Mei 2018 | 1:14pm
PEMAIN United, Nemanja Matic (kiri) bersaing dengan pemain Chelsea, Tiemoue Bakayoko pada final Piala FA Inggeris. - Foto AFP

Red Devils perlu buru pemain berpengalaman

LONDON: Manchester United perlu menandatangani pemain lebih berpengalaman pada musim panas ini, menurut pemain tengah, Nemanja Matic.

United tewas kepada Chelsea dalam aksi final Piala FA, kelmarin dan menduduki tangga kedua Liga Perdana, 19 mata di belakang Manchester City.

Kelab membelanjakan STG148j (RM792j) pada musim panas lalu termasuklah pembelian mahal Matic danRomelu Lukaku.

Matic berpendapat mereka mampu mencabar kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara jika membeli pemain berpengalaman pada musim panas ini.

"Pasukan yang lebih baik daripada kami musim ini ialah Man City," kata Matic, 29.

"Jelas, mereka beraksi sangat hebat tetapi kami menghuni tangga kedua dan mara ke Liga Juara-Juara tahun depan. Itu yang lebih penting. Saya fikir kami memerlukan beberapa pemain berpengalaman dan berkualiti."

United membelanjakan STG261.67j (RM1.39 bilion) sejak dua musim lalu, STG98.37j (RM524 juta) kurang daripada City dan mencipta rekod dunia apabila membayar yuran STG89j (RM476j) untuk mendapatkan Paul Pogba pada 2016.

Penyerang, Lukaku, 25, dibawa ke Old Trafford dengan harga STG75j (RM401 juta) pada musim panas lalu dan Matic menyertainya dengan harga STG40j (RM214 juta).

Selain itu, beberapa perpindahan mahal membabitkan pembelian Victor Lindelof, 23, Eric Bailly, 24, dan Alexis Sanchez, 29, berpindah dari Arsenal pada Januari lalu.

Kali terakhir United muncul juara liga pada musim 2012-13 ketika dikendalikan Sir Alex Ferguson buat kali terakhir dan sejak itu menamatkan kedudukan di tangga ketujuh, keempat, kelima dan keenam sebelum menduduki tangga kedua musim ini. - AGENSI

Berita Harian X