Sabtu, 19 Mei 2018 | 9:17pm
AKSI Nakajima (kiri) ketika mewakili Terengganu. - Foto fail

Amutu, Nakajima mampu lonjak Pahang

KUANTAN: Kehadiran Austin Amutu dan Issey Nakajima dalam skuad Pahang amat dinantikan dalam usaha mengembalikan ketajaman dan memperkasakan jentera tengah skuad itu.

Dengan pengalaman dimiliki dua pemain import itu yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia diyakini memberi impak postif untuk mencari kedudukan terbaik dalam liga.

Bagi pemain tengah Tok Gajah, Nor Azam Azih, keduaa-duanya bakal menjadi sandaran utama Pahang terutama menambah bisa di bahagian serangan.

"Selepas ketiadaan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan, jentera serangan gagal berfungsi dengan baik hingga memberi kesan kepada keputusan perlawanan.

"Apabila pengurusan memilih Amutu untuk bergandingan dengan Patrick Cruz di posisi serangan, ia diharap membantu pasukan dalam meraih kemenangan. Begitu juga Nakajima, dia yang pernah mewakili Terengganu musim lalu diharap cepat membentuk keserasian kerana kami mahukan Pahang kembali mempamerkan prestasi membanggakan," katanya.

Ditanya peluang Pahang untuk kembali mencatat kemenangan menentang Kedah Selasa ini, Nor Azam percaya skuad itu sudah bersedia berbuat demikian.

Katanya, kekalahan tipis 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) akan ditebus biarpun berdepan Helang Merah di tempat lawan.

"Kami tidak boleh tercicir lagi mata kerana Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak sudah pasti mahu mengekalkan kedudukan mereka dan tiga mata menjadi misi utama kami di Alor Setar," katanya.

Berita Harian X