Khamis, 10 Mei 2018 | 1:17am
JOSE Mourinho
SIR Alex Ferguson

Mourinho positif situasi Ferguson

MANCHESTER: Bos Manchester United, Jose Mourinho berkata beliau "amat positif" betapa bekas pengurus kelab itu, Sir Alex Ferguson akan pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan otak.

Ferguson mengharungi pembedahan kecemasan pada minggu lalu dengan United berkata ia "berjalan amat lancar" dan legenda berusia 76 tahun sedang menjalani proses pemulihan dan berada dalam rawatan rapi.

Bercakap menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu West Ham United di gelanggang lawan, awal pagi Jumaat ini, Mourinho menolak untuk membicarakan dengan lebih lanjut mengenai tahap kesihatan Ferguson.

Pengurus dari Portugal itu berkata ia adalah bagi menghormati privasi keluarga Ferguson tetapi beliau yakin bekas pengurus dari Scotland itu akan pulih sepenuhnya.

"Keluarganya meminta privasi dan itulah yang akan saya hormati," kata Ferguson kepada wartawan. "Tetapi kami semua amat positif, amat positif. Kami yakin."

Ditanya sama ada keadaan Ferguson akan mendatangkan impak kepada pasukan, Mourinho berkata: "Tidak. Apa yang saya boleh fikir jika ada sebarang hubungan ia adalah hubungan yang positif."

United sudah pun layak ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan dan hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tangga kedua liga di belakang juara, Manchester City yang akan dianugerahkan trofi pada minggu ini.

Mourinho juga berkata penyerangnya, Romelu Lukaku akan terlepas aksi bertemu West Ham dan perlawanan terakhir liga pada Ahad ini menentang Watford tetapi menambah pemain dari Belgium itu mungkin boleh beraksi pada aksi final Piala FA bertemu Chelsea pada 19 Mei ini.

Lukaku yang juga penjaring terbanyak United dengan mengumpul 27 gol musim ini dipalit kecederaan kaki ketika kelab itu mencatat kemenangan ke atas Arsenal, bulan lalu. - Reuters

Berita Harian X