Selasa, 8 Mei 2018 | 12:19am
Kelihatan patung Pengurus Bola Sepak Legenda Sir Alex Ferguson di luar stadium bola sepak Old Trafford, Sir Alex Ferguson Stand di Manchester. - Foto AFP

United ucap terima kasih

LONDON: Manchester United berterima kasih atas sokongan yang diterima dari seluruh dunia terhadap bekas pengurus legenda kelab itu, Sir Alex Ferguson yang mengharungi pembedahan kecemasan akibat pendarahan otak, Sabtu lalu.

Dianggap antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak British, Ferguson, 76, memenangi 38 trofi utama sepanjang 26 tahun mengendali United termasuk 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua Liga Juara-Juara sebelum bersara pada 2013.

United tidak memberikan sebarang perkembangan terkini mengenai keadaan Ferguson berkata, prosedur pembedahan pada Sabtu lalu itu berjalan "amat baik" tetapi berkata tempoh rawatan intensif diperlukan bagi mengoptimumkan proses pemulihannya.

Begitupun, kelab itu berterima kasih terhadap semua yang memberi sokongan termasuk daripada rakan pengurus antaranya Arsene Wenger, Pep Guardiola dan Jurgen Klopp yang melahirkan kekaguman mereka terhadap Ferguson.

"Manchester United ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan dalam dunia bola sepak atas ucapan sokongan yang diperoleh susulan berita yang mengatakan Sir Alex Ferguson menjalani pembedahan kecemasan pada petang Sabtu lalu," kata United dalam satu kenyataan, semalam.

"Selain pemain kami sendiri, bekas pemain dan pemain sedia ada, Sir Alex mendapat sokongan dan memperoleh komen yang menyentuh perasaan dari kelab-kelab lain, badan induk persatuan dan individu sukan ini."

Bos Arsenal, Wenger dan Ferguson sebelum ini bertarung untuk merebut kegemilangan di Liga Perdana Inggeris sepanjang 22 tahun pengurus Perancis itu bersama Gunners yang akan berakhir pada penghujung musim ini.

Begitupun, mereka menjadi rakan baik dengan Ferguson memberikan Wenger cenderahati pada kunjungan terakhirnya di gelanggang United, Old Trafford sebagai pengurus Arsenal pada minggu lalu. - AFP

Berita Harian X