Sabtu, 5 Mei 2018 | 6:55pm
PEMAIN Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohamad Akhimullah Anuar Esook. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Akhimullah di puncak prestasi

 

KUALA LUMPUR: Akhimullah Anuar Esook akan beraksi pada pentas final ketiga Piala TNB esok, dengan dia pastinya menjadi taruhan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolts untuk meledak gol.

Penyerang berusia 18 tahun itu terbukti pemain 'perlawanan besar' apabila menjaringkan gol buat SSTMI pada pentas final edisi 2016 dan 2017 dan musim ini untuk mengungguli senarai penjaring dengan 16 gol.

SSTMI akan bertarung menentang Sekolah Sukan Pahang (AHP-SSP) Thunderbolts pada final yang dianggap ulangan tahun lalu dengan Akhimullah dan rakan sepasukannya turun sebagai pilihan.

Untuk 2017, SSTMI menewaskan AHP-SSP 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar perlawanan, manakala dua tahun lalu, tumbang 4-3 kepada SSBJ Thunderbolts.

"Saya akan beraksi dalam pentas final ketiga bersama SSTMI dan saya akan cuba untuk tidak mengecewakan sekolah saya. Saya sudah menjaringkan gol dalam dua pentas final terdahulu," kata Akhimullah.

Dia adalah tonggak penting negara selepas mencetak 16 gol sewaktu saingan Kelayakan Olimpik Belia di Bangkok baru-baru ini untuk dinobat penjaring terbanyak kejohanan.

Malah, naluri pembunuhnya di depan gol cukup luar biasa dan ini terbukti sejak tiga tahun lalu apabila menyumbat 11 gol dalam Liga Hoki Remaja dan tahun lalu dia juga muncul penjaring terbanyak dengan 17 gol.

"Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk setiap perlawanan dan dengan bantuan rakan sepasukan, saya mampu menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Sementara itu, pengendali AHP-SSP, Sufian Mohamad tidak meletakkan harapan begitu tinggi untuk pertembungan final esok.

"Kami tumbang 5-0 kepada SSTMI dalam liga (Akhimullah menjaringkan dua gol), dan saya percaya ia bukannya mudah untuk aksi final nanti. Kami akan turun sebagai pasukan bukan pilihan," katanya.

 

Final Piala TNB

Esok

 

Lelaki

AHP-SSP-Thunderbolts mln SSTMI Thunderbolts

Std Hoki Bkt Jalil, 6.30ptg

 

Wanita

MSSPP-PSHA mln KL WIPERS

Std Hoki Bukit Jalil, 4ptg

Berita Harian X