Jumaat, 4 Mei 2018 | 11:59pm
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Peluang Chelsea cetus panik buat Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Peminat Liverpool di Malaysia menjerit kegembiraan awal pagi Khamis lalu selepas pasukan kesayangan mereka mara ke final Liga Juara-Juara. Rasanya masih ramai terbawa-bawa sehingga hari ini.

The Reds di bawah bimbingan Jurgen Klopp membuktikan keunggulan mereka mampu sampai peringkat itu apabila mengenepikan cabaran AS Roma dengan agregat 7-6, meskipun kejayaan itu disulami dengan debaran luar biasa.

Liverpool bertemu penyandang juara, Real Madrid yang mengenepikan Bayern Munich pada aksi final di Stadium Olimpik Kiev, Ukraine pada 27 Mei ini. Ia mengulangi aksi final pada 1981 yang dimenangi Liverpool 1-0.

Tatkala penyokong The Reds berpesta, malang pula nasib menimpa Arsenal. Pasukan itu gagal meneruskan kemaraan ke final Liga Europa selepas dikecewakan oleh Atletico Madrid menerusi agregat 1-2 selepas tewas 1-0 di Rom awal pagi semalam.

Ini mungkin perlawanan perpisahan paling tidak diingini oleh Arsene Wenger di pentas Eropah selepas mengesahkan pemergiannya dari Emirates pada penghujung musim ini.

Apapun, kejayaan di Rom itu sudah pasti cukup menyemarakkan lagi semangat anak buah Klopp menjelang kunjungan ke Stamford Bridge malam esok pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Perlawanan tumpuan bagi minggu ini seharusnya sangat penting bukan saja kepada Liverpool malah, tuan rumah, Chelsea. Kemenangan yang menjadi buruan, bakal membantu memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Dengan The Reds dilihat memiliki satu tambahan talian hayat menerusi kemungkinan kejuaraan di Eropah, The Blues sebaliknya hanya bergantung harap menerusi posisi di tempat keempat liga.

Selepas 36 perlawanan, pasukan Klopp menghimpunkan 72 mata, meninggalkan barisan Antonio Conte dengan kelebihan enam mata, namun pesaingnya itu masih memiliki lebih satu perlawanan. Tottenham Hotspur di tempat keempat dengan 71 mata melalui 35 aksi.

Melihat statistik semasa, seandainya Liverpool memenangi aksi ini, mereka boleh menarik nafas lega kerana sudah mengesahkan tempat ke Eropah. Malah jika sekali pun berakhir seri, ia sudah memadai. Namun perlu memenangi aksi terakhir menentang Brighton untuk mengelak aksi playoff Liga Juara-Juara musim depan.

Sebaliknya, bagi Chelsea, ia tiada pilihan kecuali memenangi perlawanan di laman sendiri ini, sambil berharap dapat turut menjinakkan Huddersfield dan Newcastle dalam dua aksi terakhir.

Sudah pasti kekalahan, bakal mencetuskan panik di kem Liverpool.

Sementara itu, Manchester City bakal berpesta meraikan kejayaan menjadi juara EPL musim ini di Etihad, tatkala berdepan Huddersfield jam 8.30 malam esok. Jirannya, Manchester United harus harus turut mengesahkan tempat sebagai naib juara apabila berkunjung ke Brighton awal pagi ini.

Sementara itu, saingan untuk mengelak dari tersingkir dari EPL dijangka terus sengit. West Brom yang berada di tempat tercorot liga bakal menyambut kunjungan Spurs, manakala Stoke City meraikan kedatangan Crystal Palace.

Dua lagi pasukan yang berada di zon penyingkiran, Southampton pula berdepan Everton, manakala Swansea membuat perhitungan dengan Bournemouth. Dua pasukan Liga Kejuaraan Inggeris, Wolverhampton Wanderes dan Cardiff City sudah pun mengesahkan tempat musim depan ke EPL musim depan. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Brighton1 Manchester United 2

Stoke 3 Crystal Palace 2

Bournemouth 1 Swansea 2

Leicester 2 West Ham 1

Watford 1 Newcastle 1

West Brom 2 Tottenham 2

Everton 1 Southampton 1

Man City 3 Huddersfield 0

Chelsea 2 Liverpool 1

Arsenal 1 Burnley 0

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Berita Harian X