Jumaat, 4 Mei 2018 | 12:26pm
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mahu anak buahnya dapat mengekalkan rentak cemerlang untuk mengutip tiga mata di laman sendiri. - Foto Farizul Hafiz Awang

Peluang kejar JDT

 

KUANTAN: Momentum dua kemenangan sebelum ini menjadi pencetus semangat buat skuad Pahang menjelang kunjungan Kedah di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Enam mata yang raih dalam dua perlawanan berturut-turut ketika menang 2-0 ke atas Melaka United dan Terengganu TC (TFC) 3-1 akan membantu skuad Tok Gajah meneruskan aksi cemerlang itu.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh mahu anak buahnya dapat mengekalkan rentak cemerlang untuk mengutip tiga mata di laman sendiri.

"Kemenangan ke atas Helang Merah akan membantu untuk merapatkan jurang mata dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pendahulu liga," kata Dollah.

"Tetapi pemain perlu memanfaatkan peluang untuk memberi tekanan kepada lawan yang pasti memberi tentangan sengit.


MOMENTUM dua kemenangan sebelum ini menjadi pencetus semangat buat skuad Pahang menjelang kunjungan Kedah. - Foto Ghazali Kori

"Saya harap aksi seperti yang dipersembahkan ketika menang ke atas Melaka United dan TFC dipersembahkan sekali lagi pada perlawanan esok."

Sementara itu pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu skuad itu tidak terikut-terikut rentak permainan Helang Merah.

Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri dan sokongan padu daripada penyokong akan menambah keyakinan untuk menggengam tiga mata.

"Oleh itu, semua pemain yang diberi tanggungjawab dapat melaksanakan tugasan mereka, sekaligus mengekalkan rekod kemenangan," katanya.

Berita Harian X