Selasa, 1 Mei 2018 | 11:30pm
PEMAIN Kedah, Andik Vermansah (kiri) berebut bola dengan pemain Negeri Sembilan, Mohd Aizulridzwan pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Kedah kongsi mata di Alor Setar

ALOR SETAR: Kedah terpaksa berpuas hati apabila diikat Negeri Sembilan 3-3 dalam aksi perlawanan ke-8  Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini. 

Kedah membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi gerakan Baddrol Bakhtiar yang membuat lorongan dari kiri pintu gol Negeri Sembilan dan disambut dengan penyudah kemas oleh Liridon Krasniqi. 

Selang dua minit, skuad Negeri Sembilan kendalian Azraai Khor Abdullah pula bangkit dengan kejutan menyamakan kedudukan hasil jaringan N Thanabalan yang hasil percubaan jarak dekat menewaskan penjaga gol Kedah Ifwat Akmal. 

Tersentak dengan gol penyamaan itu, Kedah kembali melakukan serangan bertali arus ke pintu gol pelawat dan berjaya sekali lagi mendahului Negeri Sembilan dengan jaringan oleh pemain sayap Syazwan Zainon pada minit ke-26  yang menyudahkan hantaran cantik daripada Liridon Krasniqi. 

Stadium Darul Aman kembali bergema apabila Kedah menambah koleksi gol ketiga pada minit ke-31 melaui sepakan penati yang disempurnakan oleh Sandro Da Silva selepas beliau dijatuhkan oleh Aizulridzwan Razali dalam petak penalti. 

Bermula babak kedua, pintu gol Kedah sekali lagi dibolosi hasil jaringan pemain  import Negeri Sembilan berasal dari Argentina, Leandro Velez pada minit ke-47.

Negeri Sembilan menggugat semangat tuan rumah apabila menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-86 yang disempurnakan Flavio Beck Junior selepas pemain gantian Fauzi Abdul Latif dijatuhkan. 

Hasrat Kedah menambah gol saat saat akhir tidak kesampaian dan akur berkongsi satu mata.

Berita Harian X