Isnin, 30 April 2018 | 10:18am
REAL menjadi pilihan untuk mara dan muncul juara Liga Juara-Juara, namun Zinedine Zidane enggan mengakui gelaran ketiga itu. - Foto EPA

Zidane tak fikir soal trebel

MADRID: Zinedine Zidane mungkin menjuarai dua gelaran Liga Juara-Juara berturut-turut namun beliau enggan mengakui gelaran ketiga akan menandakan era baru untuknya di Real Madrid.

Real menghampiri final ketiganya menjelang aksi timbal balik menentang Bayern Munich dalam kelompok empat terakhir awal pagi Rabu, di mana mereka membawa kelebihan 2-1, dan dua gol di tempat lawan ke Santiago Bernabeu.

Ia menjadikan mereka pasukan pilihan untuk mara dan muncul juara selepas menewaskan Paris Saint-Germain dan Juventus pada aksi kalah mati.

Bagi Zidane, gelaran Eropah ketiga sebagai jurulatih kini dalam jangkauannya, yang akan meletakkannya sebaris dengan Carlo Ancelotti dan Bob Paisley sebagai pengurus paling berjaya.

Bagaimanapun ketiga-tiga kejayaan Paisley hadir di kelab yang sama iaitu Liverpool pada era yang sama iaitu 1977, 1978 dan 1981.

Trebel Ancelotti pula melangkaui 11 tahun dengan dua kelab iaitu Real dan AC Milan.


Cristiano Ronaldo yang mencetak 15 gol pada kempen Liga Juara-Juara pada edisi kali ini menjadi kunci Zinedine Zidane. - Foto EPA

"Kita tidak boleh bercakap mengenainya," kata Zidane.

"Jurulatih seperti ini diberikan banyak masa dan banyak yang sudah mereka lakukan.

"Saya selesa, kami melakukannya dengan baik, dua setengah tahun yang lalu memang bagus tetapi yang lainnya, kita tunggu dahulu."

Malah Alex Ferguson, Jose Mourinho dan Pep Guardiola juga menjulang gelaran tertinggi di Eropah itu sebanyak dua kali, kesemuanya dalam tempoh yang lama.

Namun reputasi Zidane sebagai jurulatih dan pakar taktikal terus dipertikaikan, sekurang-kurangnya kerana jurulatih Perancis itu memiliki skuad paling berbakat di dunia dan Cristiano Ronaldo, pemain terbaik di Liga Juara-Juara.

Ronaldo yang mencetak 15 gol pada edisi kali ini sudah pasti menjadi kuncinya namun Zidane yang mengambil tindakan berani mengetepikan Gareth Bale dan Karim Benzema di Allianz Arena menentang Bayern. - AFP

Berita Harian X