Ahad, 29 April 2018 | 3:42pm
JURGEN Klopp. - Foto AFP

Klopp dakwa Salah paling banyak dikasari

LIVERPOOL: Jurgen Klopp mendakwa peledak berbisa Liverpool, Mohamed Salah "mungkin pemain paling banyak dikasari di Liga Perdana Inggeris (EPL)."

Penyerang kelahiran Mesir itu yang sudah mengumpul 31 gol musim ini melepaskan peluang merekod sejarah menjadi penjaring terbanyak di EPL selepas Liverpool terikat tanpa jaringan dengan Stoke City, semalam.

Ini kali pertama Salah yang menerima deretan terjahan pada perlawanan itu gagal menjaringkan gol sejak Januari lalu.

Ketika ditanya sama ada pemain bintangnya itu memerlukan lebih perlindungan daripada pengadil atau perlu membiasakan dengan permainan fizikal seperti itu, Klopp berkata: "Dia sudah biasa.

"Bagaimana kamu boleh berfikir dia bukan pemain yang paling banyak dikasari secara fizikal? Ada peraturan. Tetapi ia langsung tiada kena mengena dengan bagaimana kamu bermain.

"Mo Salah mungkin pemain paling banyak dikasari di Liga Perdana Inggeris, jadi dia perlu membiasakan diri. Dia tidak perlu belajar. 

"Saya tidak bertanggungjawab untuk menghakimi peraturan, ia adalah tanggungjawab pengadil. Jika dia masih berfikir ia masih baik dan masih mahu menetapkan tahap itu, saya tidak boleh mengubahnya."

Klopp dalam pada itu mengesahkan tiga pemainnya, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson dan Joe Gomez mengalami kecederaan ketika bertemu Stoke.

Begitupun, berita baik buat Liverpool apabila pengurus dari Jerman itu berkata, pemain sayapnya, Sadio Mane cergas bagi aksi timbal balik kedua Liga Juara-Juara menentang AS Roma di gelanggang lawan, minggu depan.

"Sadio tidak bermain (Stoke), jadi dia tidak berdepan masalah untuk perlawanan pada Rabu (awal pagi Khamis)," kata Klopp dengan skuad kendaliannya memiliki kelebihan 5-2 susulan kemenangan di Anfield. - Agensi

16 dibaca
Berita Harian X