Sabtu, 28 April 2018 | 6:47am
Jurgen Klopp (kiri) dan Jose Mourinho. - Foto Reuters

Harapan besar Liverpool, United di penghujung saingan

KOLUM APA KATA EPL

Kemenangan besar Liverpool ke atas AS Roma dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu ini sangat menggembirakan penyokong kelab berkenaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Riak keyakinan jelas terbayang pada wajah skuad The Reds betapa mereka kini hanya selangkah untuk beraksi pada pentas final di Stadium Olimpik Nasional, Kyiv, Ukraine, 27 Mei ini.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu menewaskan Roma dengan jaringan 5-2 di Anfield pada Rabu lalu dan bakal membuat perhitungan kedua di Rom pada 3 Mei ini waktu Malaysia bagi mencari pemenang ke final.

Tidak salah menyatakan peluang Liverpool mara adalah lebih cerah berbanding lawannya itu yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas untuk mara.

Adakah semangat membara The Reds ini mampu diteruskan pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menyambut kunjungan Stoke City pada jam 7.30 malam ini waktu Malaysia?

Atau Klopp memilih bersikap waspada bagi memastikan peluang mara ke final Liga Juara-Juara tak terjejas dengan merehatkan pemain terbaik terutama penyerang sensasi mereka, Mohamed Salah?

Dengan kedudukan dalam kelompok empat terbaik EPL kelihatan agak selamat ketika ini, penulis percaya perubahan strategi bakal dilakukan pengendali Jerman itu. Keutamaannya sudah pasti ditumpukan kepada saingan di Eropah.

Ketika ini Liverpool menduduki tangga ketiga EPL hasil himpunan 71 mata selepas 35 aksi, ketinggalan tiga mata di belakang Manchester United yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan.

Dalam masa sama, ia juga meninggalkan Tottenham Hotspur dengan tiga mata, namun lawannya itu turut memiliki kelebihan satu aksi.

West Brom dalam bahaya

Selepas Stoke, The Reds akan berkunjung ke Stamford Bridge untuk bertemu Chelsea sebelum menamatkan aksi musim ini menentang Newcastle di St James Park.

Selain Liverpool, saingan bagi minggu ini juga akan bertumpu kepada pertemuan United dan Arsenal di Old Trafford.

Minggu lalu, barisan Jose Mourinho menceriakan penyokong Red Devils apabila mara ke final Piala FA pada 19 Mei ini selepas menewaskan Spurs 2-1.

United masih memiliki empat baki perlawanan termasuk bertemu Arsenal. Ia hanya memerlukan dua kemenangan dan satu seri bagi mengesahkan kedudukan di tempat kedua, di belakang juara EPL, Manchester City. Selepas ini, barisan Mourinho bakal menentang Brighton, dan West Ham (kedua-duanya di tempat lawan) dan Watford di Old Trafford bagi aksi penutup musim.

Bagi perlawanan menentang The Gunners, penulis jangkakan ia bakal sengit kerana Arsenal turut memburu tempat sekurang-kurangnya di tangga kelima bagi membolehkan ia beraksi di pentas Liga Europa musim depan.

Ketika ini ia berada di tangga keenam liga dengan himpunan 57 mata, ketinggalan di belakang Chelsea (tempat kelima) dengan perbezaan enam mata.

Sementara itu, saingan bagi mengelak tersingkir dari EPL bakal terus menghangatkan saingan di penghujung musim ini antara West Brom, Stoke, Southampton, Swansea dan Huddersfield.

Setakat ini, West Brom dilihat menjadi pilihan utama untuk tersingkir seandainya gagal aksi memenangi Newcastle United minggu ini.

Begitu juga Stoke yang perlu mengejutkan Liverpool malam ini manakala The Saints tiada pilihan kecuali menjinakkan Bournemouth malam ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Liverpool 2 Stoke 2

Crystal Palace 2 Leicester 1

Huddersfield 2 Everton 1

Burnley 2 Brighton 2

Newcastle 2 West Brom 2

Southampton 2 Bournemouth 1

Swansea 1 Chelsea 2

West Ham 1 Man City 3

Man United 2 Arsenal 1

Tottenham 3 Watford 0

*Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Berita Harian X