Jumaat, 27 April 2018 | 7:59pm
PEMAIN Pahang meraikan kemenangan selepas menewaskan JDT 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Tok Gajah kekal pemain lanyak JDT

KUANTAN: Skuad Pahang akan menurunkan kesebelasan terbaik apabila melayan kunjungan Melaka United dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam esok.  

Ini kerana skuad Tok Gajah tiada pilihan lain selain mengutip tiga mata untuk memastikan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak ketara.  

Justeru, pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan gandingan mantap pemain ketika menewaskan JDT 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA akan menjadi nadi skuad itu.  

"Pahang tidak boleh tewas atau seri kerana jurang mata dengan JDT selaku pendahulu liga kini empat mata dan perlu menang ke atas Melaka United.  

"Jadi, komitmen dan semangat juang tinggi dituntut daripada pemain dan saya percaya kelebihan beraksi di laman sendiri akan membantu skuad Tok Gajah meraih tiga mata," katanya. 

Namun, Mohammed Suffian tidak mahu pemainnya terlalu yakin bagi mengelak diaibkan lawan yang sudah pasti mengidamkan kemenangan.  

Katanya, kekalahan Melaka United 0-3 di tangan Terengganu pada aksi terakhir liga memberi kesan terhadap persembahan mereka.  

"Nasihat jurulatih (Dollah Salleh) supaya pemain berhati-hati dengan percaturan lawan perlu diberi perhatian. 

"Justeru, semua pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada kerana kekuatan pasukan juga hasil sokongan padu penyokong," katanya.

Berita Harian X