Khamis, 26 April 2018 | 4:07pm
PERTAHANAN Tottenham Hotspur, Eric Dier (kiri) bersaing dengan Alexis Sanchez dalam aksi separuh akhir Piala FA Inggeris di Stadium Wembley, London. - Foto AFP

Sanchez masih cuba sesuaikan diri di United

LONDON: Alexis Sanchez mengakui dia masih cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan di Manchester United susulan perpindahan dari kelab seteru, Arsenal.

Penyerang dari Chile itu menyertai United selepas menghabiskan tiga setengah tahun di Arsenal dan kariernya di Old Trafford bermula agak perlahan daripada jangkaan.

Sejak menyertai Red Devils Januari lalu, penyerang berusia 29 tahun itu hanya meledak tiga gol daripada 14 penampilan dalam semua pertandingan.

"Keadaan amat berbeza di sini," kata Alexis dalam laman web pasukan itu www.manutd.com.

"Saya fikir United kelab dengan sejarah yang lebih kuat dan kami mahu memenangi trofi tahun depan.

"Kami perlu terus meningkat. United kelab yang besar, kerana itu saya masih menyesuaikan diri dan saya juga bersedia untuk memberikan segala yang saya ada tahun depan serta menyasarkan untuk memenangi semua kejuaraan yang boleh dimenangi."

Sanchez membantu United mara ke final Piala FA Inggeris bertemu Chelsea pada 19 Mei ini.

Begitupun, semangatnya pasti lebih membara apabila United menentang Arsenal di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini. - Reuters

Berita Harian X