Isnin, 23 April 2018 | 9:25pm
PENGENDALI JDT, Raul Longhi (kiri) bersama Safiq Rahim ketika sidang media di Johor Bahru. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM

Misi mustahil JDT

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan misi mustahil untuk memburu slot separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC apabila berdepan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC pada aksi terakhir Kumpulan H, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Skuad kendalian Raul Longhi yang kini berada di tangga ketiga selepas mengumpul tujuh mata perlu menang besar ke atas anak didik Nguyen Duc Thang yang hanya turun mencari keputusan seri untuk mara ke separuh akhir.

Song Lam Nghe An FC kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan bersaing dengan pendahulu, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan dengan juara Kumpulan F, G dan H akan layak secara automatik ke separuh akhir.

Satu lagi slot separuh akhir akan menjadi milik pasukan yang menduduki tempat kedua terbaik dalam ketiga-tiga kumpulan berkenaan dengan keputusan seri sudah memadai tempat itu menjadi milik kelab Vietnam berkenaan.

Apapun, Longhi enggan terlalu memberi tekanan kepada kesebelasan utama yang akan diturunkan tatkala Harimau Selatan juga perlu membuat persiapan rapi menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

"Kami tetap turun memburu kemenangan memandangkan ia perlawanan terakhir kumpulan dan dalam bola sepak untuk mencari gol yang besar tidak mustahil jika apa yang dirancang menjadi dalam perlawanan itu.

"Mungkin ada rombakan dalam kesebelasan utama kerana selepas itu kami akan menentang Kelantan dan ia perlawanan penting bagi kami untuk kekal di tangga teratas liga. Apapun, kami tetap fokus pada aksi menentang kelab dari Vietnam itu dahulu bagi mengutip tiga mata di laman sendiri," katanya.

Bercakap pada sidang media praperlawanan itu, Longhi juga berharap keadaan cuaca yang tidak menentu  pada sebelah petang tidak menjejaskan rentak permainan JDT yang diterapkan dengan corak umpanan bola pendek dan pengawalan permainan.

Sementara itu, kapten JDT, Safiq Rahim menegaskan kekecewaan selepas tewas 0-3 kepada Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA, Jumaat lalu sudah dilupakan dan kesemua pemain memberi sepenuh tumpuan untuk aksi menentang kelab Vietnam berkenaan.

Katanya, moral rakan sepasukan juga positif dan keinginan memburu kemenangan pada aksi terakhir kumpulan begitu tinggi namun mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Berita Harian X