Ahad, 15 April 2018 | 8:03pm
PEMAIN JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) dikawal dua pemain PKNS FC pada saingan Liga Super, malam tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Taktikal Longhi berhasil

JOHOR BAHRU: Kritikan hebat dilemparkan penyokong selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) tewas dalam saingan Piala AFC di Jakarta tidak mematahkan semangat Raul Longhi untuk merangka strategi lebih mantap dan seimbang buat pasukannya.

Katanya, langkah tidak menurunkan barisan terbaik ketika menentang Persija Jakarta adalah tepat, apabila kesebelasan utama menentang PKNS FC, malam tadi berjaya merealisasikan sasaran tiga mata untuk kekal di tangga teratas Liga Super.

"Ia sudah menjadi lumrah buat diri saya apabila pasukan yang saya bimbing tewas 0-4 dalam saingan Piala AFC tetapi apa yang saya lakukan untuk kebaikan kerana hari ini (semalam) kami turunkan kesebelasan utama dan anda sendiri lihat kita menang 3-0.

"Apa yang saya lakukan bagi mengelak pemain kepenatan selepas mengharungi Piala AFC dan kemudian turun pada aksi liga. Sebab itu penggiliran pemain dilakukan kerana sasaran utama JDT untuk memburu kejuaraan liga," katanya.

Mengulas kemenangan 3-0 ke atas skuad kendalian Datuk K Rajagobal, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan kemenangan itu hasil kerjasama berpasukan dan setiap pemain mengikut perancangan taktikal.

Katanya, sikap positif setiap pemain dan semangat juang untuk bangkit selepas mengalami kekalahan dalam saingan Piala AFC menyaksikan pasukan itu mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super.

"Sepanjang aksi babak pertama, kami beraksi dengan konsisten dan berjaya menjaringkan gol pertama malah pada babak kedua, kami terus menguasai perlawanan dan menjaringkan dua gol.

"Apabila berada dalam kedudukan selesa (2-0), keyakinan pemain melonjak dan beraksi tanpa tekanan untuk menjaringkan gol ketiga. Saya berpuas hati dengan komitmen setiap pemain," katanya.

Ditanya mengenai prestasi S Kunanlan yang diturunkan pada pertengahan babak kedua, Longhi menjelaskan kecergasan pemain itu masih belum memuaskan kerana baru pulih daripada kecederaan.

"Kunanlan tidak menjalani latihan selama 14 hari akibat kecederaan dan hanya menjalani latihan tiga kali sahaja sebelum aksi menentang PKNS FC. Apapun saya optimis dia akan bersedia untuk menentang Pahang, Jumaat ini," kata Longhi.

Berita Harian X