Jumaat, 13 April 2018 | 9:51am
PIRLO (kanan) pertahan tindakan Buffon. FOTO/AFP

Pirlo sokong Buffon

MILAN: Legenda Itali, Andrea Pirlo mempertahankan Gianluigi Buffon berikutan 'aksinya' di pentas Liga Juara-Juara, semalam dengan menamakan penjaga gol veteran itu dalam perlawanan testimonial buatnya pada 21 Mei ini.

Ketika aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara membabitkan Juventus dan Real Madrid, semalam Buffon gagal menahan marah apabila pasukan lawan diberikan penalti kontroversi di minit-minit akhir permainan sebelum dia diarahkan keluar padang susulan bantahan.

"Jika saya berada di atas padang, saya juga akan menjadi sepertinya," kata Pirlo. "Apabila kamu bermain permainan seperti itu dan kemudian tewas dengan peluang untuk bermain hanya ada 10 saat sebelum penamat, ia akan membuatkan kamu gila.

Juventus menewaskan Real Madrid 3-1 di Santiago Bernabeu tetapi wakil Itali itu tersingkir dengan keputusan agregat 3-4 di peringkat suku akhir selepas pengadil Inggeris, Michael Oliver menganugerahkan kelab Sepanyol itu penalti kontroversi yang disempurnakan Cristiano Ronaldo pada minit ke-97.

"Buffon mungkin sedikit keterlaluan apabila bercakap mengenai 'jenayah' membabitkan semangat kesukanan tetapi ia perlu difahami," kata Pirlo.

"Ini adalah perlawanan terakhirnya di Liga Juara-Juara dan dia berharap untuk memenanginya. Penalti itu amat diragui dan selepas mengharungi perlawanan seperti ini di Bernabeu ia membuatkan kamu gemuruh.

"Penalti itu? Kamu boleh memberinya atau tidak memberinya. Secara peribadi, saya akan mengelaknya kerana ia hanya kurang 10 saat sebelum berakhir."

Pirlo yang juga bekas pemain tengah Juventus, Inter Milan dan AC Milan membuat keputusan untuk menggantung butnya pada November tahun lalu.

Antara deretan kejayaan yang dimilikinya ialah memenangi Piala Dunia pada 2006, dua koleksi trofi Liga Juara-Juara dan enam gelaran Serie A Itali.

Beliau mempersembahkan perincian mengenai perlawanan testimonialnya diberi tajuk 'La Notte del Maestro' (Malam untuk Masters) yang akan berlangsung pada bulan depan di San Siro yang turut menampilkan beberapa nama hebat seperti Buffon, Francesco Totti dan Alessandro Del Piero. - AFP

Berita Harian X