Rabu, 11 April 2018 | 4:36pm
JURULATIH JDT, Raul Longhi pertahankan keputusan itu memandangkan Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan lain susulan jadual perlawanan yang padat. - Foto Hairul Anuar Rahim

Longhi pertahan tindakan gilir pemain

KUALA LUMPUR: Keputusan menggilirkan pemain menjadi punca wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) diaibkan kelab Indonesia, Persija Jakarta pada aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Utama Gelora Bung Karno, malam tadi.

Pengendalinya, Raul Longhi bagaimanapun mempertahankan keputusan itu memandangkan Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan lain susulan jadual perlawanan yang padat.

Menurutnya, situasi itu tidak memungkinkan mereka untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi terutamanya fokus utama mereka kini adalah Liga Super.

"Sudah tentu saya tidak gembira dengan keputusan perlawanan malam ini (malam tadi), namun kami terpaksa melakukan penggiliran pemain. Pertandingan yang paling mustahak tahun ini Liga Super disebabkan ia untuk Liga Juara-Juara Asia.

"Jika boleh kami mahu beraksi semua perlawanan dengan kesebelasan utama terkuat namun pemain kami akan keletihan kerana tidak mendapat rehat secukupnya. Jadi, kami terpaksa menggunakan barisan yang ada untuk melakukan penggiliran pemain," katanya menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Pada aksi malam tadi, percaturan Longhi menurunkan hanya seorang pemain import akhirnya memakan diri sendiri selepas dibaham 0-4 di tangan Persija Jakarta yang terkenal dengan julukan 'Harimau Kemayoran' itu.

Lebih malang, pasukan tuan rumah mendahului 3-0 hanya dalam tempoh 19 minit pertama perlawanan menerusi hatrik Marko Simic sebelum bekas penyerang Melaka United itu meledak gol keempat peribadinya di penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, peluang JDT untuk mara ke separuh akhir Zon Asia Tenggara masih belum tertutup sepenuhnya dengan syarat mereka perlu menewaskan kelan dari Vietnam, Song Lam Nghe An dengan jaringan besar untuk muncul selaku dua pasukan naib juara terbaik.

Justeru, pengendali kelahiran Argentina itu menggesa anak buahnya agar tidak lagi memikirkan mengenai kekalahan terbabit, sebaliknya kembali fokus menghadapi aksi selepas ini.

"Sudah tentu kami mahu pulang dengan tiga mata atau satu mata dan kami tidak mahu membawa pulang dengan tangan kosong. Tetapi apa boleh buat? Perkara  sudah berlaku.

"Jadi, kami perlu fokus kepada perlawanan Liga Super bertemu PKNS FC, Sabtu ini dan kemudian perlawanan bertemu Pahang untuk Piala FA kerana ia adalah dua perlawanan yang penting," katanya.

Berita Harian X