Isnin, 9 April 2018 | 2:26pm
LEBIH 70,000 penyokong penyokong Persija Jakarta turut dikenali 'Jakmania' dijangka ke Stadium Gelora Bung Karno untuk memberi sokongan.

JDT sedia berdepan 70,000 penyokong Jakmania

JOHOR BAHRU: Sorak gegak gempita lebih 70,000 penyokong Persija Jakarta yang dikenali 'Jakmania' tidak akan melunturkan semangat juang Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bertandang ke Stadium Gelora Bung Karno pada aksi Kumpulan H Piala AFC, malam esok.

Malah pengendali JDT, Raul Longhi menegaskan ia bakal menitip pengalaman bermakna untuk beraksi di depan penyokong kelab dari Jakarta itu ketika JDT pernah mengalaminya di pentas final Piala FA 2016 dan Piala Malaysia 2017.

Baginya, pengalaman yang bakal ditempuh ini amat penting buat barisan pemain muda yang bakal diturunkan kerana mereka akan lebih berkeyakinan untuk beraksi dan memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan itu nanti.


PENGENDALI JDT, Raul Longhi. - JOHOR Southern Tigers

Malah barisan skuad Harimau Selatan langsung tidak menunjukkan faktor kepenatan selepas menentang Pahang di aksi suku akhir pertama Piala FA, Jumaat lalu.

"Tiada alasan (kepenatan) kerana kami menyusun program latihan dengan teliti. Pemain melalui proses pemulihan, menjalani latihan ringan dan mereka menunjukkan karaktor positif dalam latihan.

"Kami bersedia memberi persembahan melebihi 100 peratus dan saya kagum dengan semangat pemain yang menunjukkan komitmen tinggi sebelum menjalani latihan rasmi di Stadium Bung Karno, petang ini," katanya.


SKUAD Harimau Selatan jalani latihan di Lapangan Sepakbola ABC, Komplek Gelora Bung Karno, Jakarta. - JOHOR Southern Tigers

Pada pusingan pertama, skuad Harimau Selatan menewaskan skuad kendalian Stefano Cugurra 3-0 - jaringan Ahmad Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid pada pertembungan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 14 Februari lalu.

Beliau juga menegaskan beberapa pemain akan direhatkan bagi memastikan persiapan yang lebih rapi perlawanan berdepan PKNS FC, Sabtu ini.

Namun, Longhi tetap optimis kesebelasan yang akan diturunkan menentang Persija Jakarta adalah yang terbaik untuk memburu tiga mata.

"Kami tahu Persija Jakarta merehatkan beberapa pemain utama dalam aksi Liga 1 Indonesia, baru baru ini dan itu mungkin taktik mereka," katanya.

Berita Harian X