Khamis, 5 April 2018 | 7:57am
PENGENDALI Liverpool dari Jerman, Jurgen Klopp (kiri) puji persembahan anak buah ketika menentang Man City, awal pagi tadi. - Foto AFP

Klopp tabik anak buah

LIVERPOOL: Jurgen Klopp memberi penghormatan terhadap persembahan cemerlang Liverpool selepas menewaskan Manchester City 3-0, tetapi beliau mengakui The Reds sepatutnya menamatkan terus perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara.

Liverpool meleburkan harapan City dengan tiga gol dalam tempoh 31 minit perlawanan pada aksi suku akhir pertama di Anfield, awal pagi tadi.

Jaringan Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlain dan Sadio Mane jelas mengejutkan City yang juga pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini.


GAYA penyerang Liverpool, Sadio Mane selepas ledak gol ketiga ketika menentang Man City di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

Namun, walaupun ada yang percaya bahawa jaringan gol sudah mencukupi buat Liverpool memikirkan tempat di separuh akhir, Klopp menegaskan pemainnya terlepas peluang menutup terus peluang pasukan lawan menjelang aksi kedua minggu depan di Eastlands.

"Babak pertama sangat cemerlang. Ia aksi bola sepak yang perlu disaksikan. Kami tahu kualiti City, tetapi kami juga tahu kualiti kami," kata Klopp.

"Keputusan bukan yang kami jangkakan tetapi kami tidak bermain bola sepak yang baik pada babak kedua. Mereka tidak mempunyai banyak peluang tetapi aksi kami juga kurang menyerlah."

Sedar mengenai kemampuan City ketika membelasah Liverpool 5-0 dalam aksi Liga Perdana di Manchester pada September lalu, Klopp berkata: "Ia hanya separuh masa. 3-0, sangat baik, kami mematahkan hantaran mereka.

"Saya mahu kami bermain lebih banyak corak permainan bola sepak, saya bukan marah, semuanya bagus."

Beberapa perkara turut membimbangkan Klopp termasuk kecederaan otot penyerang Mesir, Salah selain kapten, Jordan Henderson tidak dapat beraksi untuk suku akhir kedua nanti.

"Kami kehilangan seorang pemain kerana kecederaan dan seorang lagi - kapten - kad kuning yang kurang baik. Mo (Salah) berkata kecederaannya tidak serius, tetapi kami perlu melihatnya," kata Klopp. - AFP

Berita Harian X