Rabu, 4 April 2018 | 7:47am
AKSI Thiago Alcantara (dua dari kanan) menjaringkan gol ketika menentang Sevilla pada saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. - Foto REUTERS

Bayern bangkit atasi Seville

SEVILLE, Sepanyol: Bayern Munich bangkit dengan gol sendiri pihak lawan dan tandukan daripada Thiago untuk merakam kemenangan 2-1 di laman Sevilla dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Pablo Sarabia meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-32 selepas menerima hantaran Sergio Escudero. Bagaimanapun lima minit kemudian Bayern menyamakan kedudukan menerusi hantaran Franck Ribery yang terkena pemain Bayern, Jesus Navas dan masuk ke gawangnya sendiri.


PEMAIN tengah Bayern Munich, Franck Ribery (kanan) dikekang pemain sayap Sevilla, Navas pada saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, sebentar tadi. - Foto EPA-EFE

Dengan Sevilla semakin tertekan, juara lima kali Eropah itu terus mengasak dan Thiago menanduk masuk gol kemenangan hasil bantuan Escudero pada minit ke-68.

"Sevilla adalah pasukan yang baik dan ia bukan mudah di sini," kata Ribery. "Kami memberi tindak balas yang baik selepas ketinggalan. Anda tidak boleh melakukan kesilapan, anda perlu sentiasa berjaga-jaga."

Pengendali berpengalaman Bayern Jupp Heynckes berkata pasukannya memerlukan sedikit tuah untuk menukar keputusan supaya berpihak kepada mereka.

"Secara psikologi ia amat penting untuk menyamakan kedudukan secepat mungkin, walaupun ia memerlukan sedikit tuah," kata Heynckes. "Tetapi jika kami mahu memenangi Liga Juara-Juara, kami perlu meningkatkan persembahan."

Sevilla kendalian Vincenzo Montella tidak bernasib baik apabila dibolosi dengan gol penyamaan sebelum rehat, selepas menguasai babak pertama dengan corak permainan yang menyingkirkan Manchester United pada pusingan sebelum ini.

Tanpa kelibat perancangnya Ever Banega yang digantung perlawanan, skuad Andalusia itu tampil garang dan hampir mendapat penalti apabila Joaquin Correa dijatuhkan oleh Jerome Boateng, tetapi sebaliknya dia dilayangkan kad kuning kerana berpura-pura dijatuhkan.

Sarabia hampir membuka jaringan tetapi percubaannya dari hadapan pintu gol tersasar. Dia bagaimanapun menebus kesilapannya dengan gol pertama sebelum jaringan sendiri Navas menyamakan kedudukan.

Skuad tuan rumah tampak keletihan di babak kedua dan hantaran Ribery sekali lagi terbukti berbisa apabila terkena Escudero sebelum ditanduk oleh Thiago.

Sevilla perlu bangkit di Munich pada aksi timbal balik pada awal pagi Khamis minggu depan untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama. - REUTERS

Berita Harian X