Sabtu, 31 March 2018 | 8:22pm
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan akui kedua-dua calon itu tidak mempunyai masa untuk menguruskan FAM. - Foto Hafiz Sohaimi

Tony, Vincent tak sesuai ganti TMJ: Sathia

Oleh Zulfaizan Mansor

zulfaizan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyifatkan Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Vincent Tan bukan calon paling sesuai menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berpendapat, Tony dan Vincent yang masing-masing pemilik kelab Liga Kejuaraan di England, Queens Park Rangers (QPR) dan Cardiff City tidak mempunyai masa untuk menguruskan badan induk berkenaan.

Malah, katanya, pengalaman menguruskan kelab oleh kedua-dua tokoh perniagaan terkenal itu juga adalah berbeza dengan corak pentadbiran persatuan bola sepak kebangsaan.

"Tony dan Vincent ada masa kah? Ini persatuan kebangsaan, bukan kelab. Persatuan sekarang perlukan presiden yang sepenuh masa untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan baik. 

"Presiden kena pantau pentadbiran setiap hari dan membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat sekurang-kurang dua minggu sekali. Saya tidak pasti, tapi saya fikir mereka berdua tiada masa yang cukup (untuk menguruskan FAM).

"Kalau nak jadi penaung mungkin mereka boleh. Malah, bukan senang nak uruskan persatuan kebangsaan, kalau kelab senang, nak lakukan perubahan hanya keluarkan dana yang besar. Tapi untuk peringkat kebangsaan ia bukan mudah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berpendapat Tony dan Vincent juga antara individu yang mempunyai ciri-ciri diperlukan untuk menerajui FAM selepas Datuk Hamidin Mohd Amin.

Nama Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAM dicadangkan bekas oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai peneraju badan induk berkenaan, Ahad lalu.

Ketika ini, calon pilihan dilihat lebih terarah kepada Hamidin selepas pelbagai pihak menyuarakan sokongan kepada beliau termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Sathianathan juga tetap dengan pendiriannya bahawa Hamidin sebagai individu paling layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan TMJ.

"Hamidin paling layak, dia sudah tahu semua mengenai pentadbiran dalam FAM. Malah dia tidak terikat dengan mana-mana tugas terutama di peringkat kelab," katanya.

Berita Harian X