Sabtu, 31 March 2018 | 10:44am
IBRAHIMOVIC (tiga dari kiri) mula berlatih bersama Galaxy. FOTO/AFP

Sepatutnya Galaxy, bukan United: Ibrahimovic

CARSON, Amerika Syarikat: Zlatan Ibrahimovic mendedahkan dia berharap untuk menyertai Los Angeles Galaxy dua tahun lalu dalam usahanya menakluk Liga Major Bolasepak (MLS) bagi menamatkan babak kariernya yang penuh gemilang.

Bintang Sweden berusia 36 tahun itu memberitahu wartawan dia merancang untuk berpindah ke California selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain berakhir pada penghujung 2016, sebelum mengubah fikiran untuk menyertai Manchester United.

"Perkara ini sepatutnya berlaku beberapa tahun yang lalu, tetapi ia tidak berlaku. Tetapi saya sudah berada di sini," kata Ibrahimovic di gelanggang Galaxy, StubHub Center.

"Jadi apa yang ditakdirkan akan tetap berlaku, persoalannya hanyalah bila. Akhirnya saya berada di sini dan saya cukup teruja, tidak sabar untuk bermain."

Penyerang veteran itu yang kali terakhir beraksi untuk United ketika menentang Burnley pada Disember berkata dirinya cergas dan boleh bermain untuk Galaxy bagi aksi tetangga paling dinantikan menentang Los Angeles FC, awal pagi esok.

Bekas penyerang United itu menegaskan dia tidak sabar untuk turun ke padang apabila jarang diberikan peluang bermain sejak 12 bulan lalu susulan proses pemulihan daripada kecederaan lutut yang serius.

"Saya hanya mahu berada di atas padang," kata Ibrahimovic. "Saya tahu ia cuti yang amat panjang bagi saya. Ia penantian yang cukup lama disebabkan oleh kecederaan.

"Kini saya mahu berada di sana, menghidu bau rumput, memegang bola. Hari ini apabila kami menamatkan latihan, saya mahu meneruskannya. Saya bercakap dengan jurulatih, 'Bolehkan saya lakukan beberapa rembatan? Dan dia kata baiklah, jadi saya teruskan latihan." - AFP

Berita Harian X