Jumaat, 30 March 2018 | 11:59pm
ARIFFIN (gambar kecil) percaya Hamidin calon paling layak pegang kerusi Presiden FAM. -Foto fail

Exco FAS yakin Hamidin mampu

KUALA LUMPUR: Kedudukan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon pilihan untuk mengisi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kukuh.

Ia susulan, semua ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) secara terbuka menzahirkan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung FAM itu, sambil menyifatkan beliau individu paling layak untuk menerajui badan induk itu ketika ini.

Salah seorang Exco FAS, Datuk Ariffin Abd Hamid menjelaskan semua 19 exco persatuan negeri itu menyokong penuh sekiranya Hamidin dipilih sebagai pengganti Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Beliau (Hamidin) individu paling layak untuk dipilih sebagai Presiden FAM. Walaupun beliau insan biasa, tapi bagi kami beliau sebenarnya luar biasa.

"Beliau mempunyai banyak pengalaman dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung FAS selama 20 tahun. Kami percaya beliau mampu membawa kemajuan kepada FAM untuk masa akan datang. 

"Semua 19 Exco FAS menyokong Hamidin. Kami lihat profil beliau yang sememangnya layak termasuk mempunyai hubungan baik di seluruh dunia dalam sukan bola sepak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

FAS menjadi ahli gabungan FAM kedua yang menyokong Hamidin selepas Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menerusi presidennya, B Sathianathan seperti yang dilaporkan Sukan NSTP sebelum ini turut menyatakan pendirian sama.

Selain FAS dan PJBM, Hamidin turut mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut menyifatkan beliau sebagai individu paling layak menerajui tampuk kepemimpinan FAM selepas TMJ. 

Berita Harian X