Sabtu, 24 March 2018 | 8:47pm
SKUAD Harimau Malaya berlatih di padang bola Wisma FAM. -Foto HAFIZ SOHAIMI

Rekod tanpa menang bakal berlanjutan di Beirut

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bakal berdepan tugas lebih berat untuk meraih kemenangan dalam ujian keduanya apabila berdepan Lubnan pada Selasa ini.

Cheng Hoe melepaskan 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali gus meninggalkan 21 pemain dalam skuadnya dengan satu lagi halangan besar menjelang aksi kelayakan Piala Asia Kumpulan B di Beirut nanti.

Bekas pengendali Kedah itu bagaimanapun memanggil sembilan pemain, termasuk lima muka baharu, sebagai pengganti dalam skuad yang cetek pengalaman biarpun dengan kehadiran pemain JDT ketika itu.

Keputusan seri 2-2 dengan Mongolia pada perlawanan persahabatan, Khamis lalu, iaitu tugas pertama Cheng Hoe yang menyaksikan Harimau Malaya melebarkan rekod 11 perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Ia menimbulkan kritikan di media sosial terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan dengan Cheng Hoe satu-satunya individu terpaksa berdepan media bagi menjelaskan perubahan mendadak dalam skuadnya.

FAM mengeluarkan kenyataan menerusi Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin tetapi tiada pegawai dari badan induk berkenaan berdepan media, meninggalkan Cheng Hoe untuk mengambil tanggungjawab itu.


TAN CHENG HOE

Sukar untuk meramalkan kemenangan Malaysia yang menduduki ranking ke-178 menentang Lubnan, yang mendaki 48 anak tangga ke kedudukan 87 dunia, sejak mengalahkan Malaysia 2-1 hasil dua gol lewat di Larkin pada Jun tahun lalu.

Cheng Hoe berkata beliau sedia berdepan apa saja kemungkinan apabila skuad itu kembali dari Beirut sebelum aksi persahabatan dengan Nepal di Bukit Jalil pada 1 April ini.

"Penyokong berkata kami bersikap pilih kasih terhadap pemain JDT apabila 90 peratus pemain kelab itu berada dalam kesebelasan utama (berdepan Mongolia)," katanya. "Kami mahu mencuba kombinasi lain berdepan Lubnan, jadi kami lepaskan pemain JDT."

Keputusan seri dengan Mongolia bermakna Harimau Malaya melebarkan rekod 11 perlawanan tanpa kemenangan - rekod terpanjang dalam sejarah negara.

Beberapa tahun sebelum ini - 1966-67, 1981 dan 2003-04 - Malaysia gagal meraih kemenangan dalam 10 perlawanan.

Peluang untuk menamatkan rekod tanpa kemenangan di Beirut nanti dijangka sangat sukar.

"Kami tiada peluang untuk layak walaupun menewaskan Lubnan," kata Cheng Hoe. "Fokus saya hanya kepada perlawanan kerana kami mahu meraih keputusan sebaik mungkin.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan pemain bersedia untuk perlawanan itu. Saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang akan berlaku selepas ini dan menerima kritikan."

 

 

Berita Harian X