Sabtu, 24 March 2018 | 8:32pm
ZAQUAN (kanan) sedia beri tunjuk ajar kepada pemain muda negara. -Foto fail

Zaquan sedia curah pengalaman

PETALING JAYA: Zaquan Adha Abdul Radzak kembali menyarung jersi Harimau Malaya ketika skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu berdepan situasi sukar.

Dipalit persoalan mengenai 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilepaskan selepas seri 2-2 pada aksi persahabatan dengan Mongolia, kelmarin, Harimau Malaya kini dibarisi pemain yang kekurangan pengalaman untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Asia berdepan Lubnan, Selasa ini.

Ketiadaan pemain berpengalaman Safiq Rahim, Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri bakal dirasai selain tonggak tengah Natxo Insa, yang membuat penampilan pertama ketika berdepan Mongolia.

Ia hanya meninggalkan Mahalli Jasuli, Khairul Fahmi Che Mat, Zaquan dan Wan Zack Haikal Wan Nor dalam kalangan 21 pemain yang kekal dalam skuad itu yang lebih 25 kali bersama skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Zaquan, yang kali terakhir menyertai skuad kebangsaan ketika Piala AFF Suzuki 2016, jelas gembira kembali memikul tugas bersama Harimau Malaya walaupun berdepan situasi yang berbeza.

"Sudah pasti saya terkejut apabila dipanggil dan ia satu cabaran. Malah ia satu tanggungjawab yang besar untuk bersama skuad kebangsaan," kata Zaquan, 30, yang meledak enam gol buat Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan Lubnan, Zaquan berkata dia hanya fokus untuk memberikan persembahan terbaik buat pasukan.

"Sebagai pemain, saya hanya cuba buat yang terbaik apabila beraksi bersama skuad kebangsaan dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam latihan dan perlawanan," kata Zaquan.

"Beraksi dalam perlawanan antarabangsa sentiasa sukar, bukan saja berdepan Lubnan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan jika kami kekalkan kerjasama, tiada perkara yang mustahil." 

122 dibaca
Berita Harian X