Jumaat, 23 March 2018 | 7:36pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akui prestasi pasukan negara kurang menyerlah. - FOTO OWEE AH CHUN

Jangan salahkan TMJ seorang

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas prestasi kurang menyerlah yang dipamerkan skuad kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, semua pihak di FAM termasuk pegawai, jurulatih dan pemain, bertanggungjawab selepas Malaysia terikat 2-2 dengan Mongolia dalam aksi persahabatan, semalam.

Pelbagai kritikan yang diterima Harimau Malaya menyaksikan jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe melepaskan kesemua 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), dengan sembilan daripadanya berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan Mongolia.

"Peminat dan penyokong bola sepak tanah air tidak boleh menyalahkan Tunku Ismail seorang saja di atas kegagalan skuad Harimau Malaya menewaskan Mongolia, malam tadi," kata Hamidin dalam satu kenyataan.

"Kami semua di FAM termasuk jurulatih dan pemain sendiri perlu sama-sama memikul tanggungjawab ini bagi memperbaikinya pada perlawanan akan datang.

"Apa pun kita perlu realistik memandangkan ini perlawanan pertama skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe yang baru berkumpul selama lima hari sejak Ahad lalu dan masih dalam tempoh permulaan untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2018, November ini."

Ketiadaan pemain JDT menyaksikan Cheng Hoe hanya mempunyai 21 pemain pada sesi latihan untuk persediaan aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan di Beirut selepas memanggil sembilan pemain baharu.

"Barisan kejurulatihan masih cuba mencari kombinasi terbaik dan membentuk persefahaman mantap dalam kalangan pemain yang dipanggil," tambah Hamidin.

"Saya yakin mereka akan tampil dengan aksi lebih baik pada perlawanan akan datang termasuk bertemu Lubnan dan Nepal (aksi persahabatan) pada 1 April.

"Penyokong juga perlu mencontohi penyokong di luar negara yang terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi ketika menang atau kalah, bukannya terus mengkritik dan menghina pasukan setiap kali gagal mencatat kemenangan. Jika kita tidak menyokong skuad Harimau Malaya, siapa lagi."

Berita Harian X