Jumaat, 23 March 2018 | 7:00pm
PENYERANG Kuala Lumpur, Mohamad Zaquan Adha (kiri) turut dipanggil sertai Harimau Malaya. - FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

14 pemain JDT 'hilang' kerana peminat

PETALING JAYA: Keputusan seri 2-2 dengan Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi memberi kesan besar kepada skuad Harimau Malaya.

Ini berikutan jurulatih Tan Cheng Hoe membuat keputusan drastik melepaskan 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan memanggil sembilan pemain baru bagi persiapan menentang Lubnan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut Selasa depan.

Apa yang agak menghairankan apabila bekas jurulatih Kedah itu menjadikan alasan berbuat demikian kerana mahu memenuhi kehendak peminat selepas beliau dilabel sebagai pilih kasih.

"Sebelum perlawanan dengan Mongolia semalam, saya dan barisan jurulatih sudah memilih pemain yang kami rasa yang terbaik dalam Malaysia dan selepas perlawanan dengan Mongolia, ramai orang kata kami barisan jurulatih banyak pilih kasih dengan menurunkan 90 peratus pemain JDT.

"Bagi kami pemain-pemain sudah beri yang terbaik dan kita mahu beri peluang kepada pemain lain untuk menghadapi perlawanan dengan Lubnan dan kami lepaskan pemain JDT, mungkin itu kehendak peminat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Cheng Hoe menurunkan sembilan pemain JDT dalam kesebelasan utama semalam aksi pertamanya sebagai jurulatih selepas Nelo Vingada melepaskan jawatan tahun lalu susulan keputusan buruk tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Keputusan seri 2-2 tidak memuaskan hati peminat tempatan memandangkan Malaysia di ranking ke-178 seharusnya tidak bermasalah untuk mengakhiri kemarau 16 bulan tanpa kemenangan ke atas pasukan separuh profesional Mongolia yang kini di ranking 189 dunia.

Ini bukan kali pertama kontroversi membabitkan pemain JDT kerana pada September 2016, tiga pemain JDT II dipanggil semula selepas sehari melaporkan diri bersama kem skuad kebangsaan manakala sebelum itu empat pemain, Safiq Rahim, S Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Aidil Zafuan Abd Radzak membuat keputusan bersara mengejut.

Untuk mengisi ketiadaan 14 pemain JDT kali ini, Cheng Hoe memanggil Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri (PKNP FC), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS FC), R Kogileswaran (Pahang), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).

Ketika ditanya adalah selepas ini beliau tidak akan memanggil terus pemain JDT bagi tugasan seterusnya terutama bagi saingan Piala AFF hujung tahun ini, Cheng Hoe berkata, fokusnya kini hanya kepada aksi menentang Lubnan.

"Sebagai jurulatih saya akan bertanggungjawab dan menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan pemain memberi perhatian 100 peratus kepada perlawanan kerana kita tak mahu sejarah pahit berulang.

"Tumpuan saya hanya untuk perlawanan dengan Lubnan saja, walaupun kita sudah terkeluar daripada saingan, saya nak pastikan kita dapat keputusan baik," katanya yang kini memiliki 21 pemain untuk di awa ke Beirut.

Selepas menentang Lubnan, skuad kebangsaan akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Nepal pada 1 April di SNBJ.

101 dibaca
Berita Harian X