Rabu, 21 March 2018 | 6:35pm

Cole yakin sentuhan Mourinho belum pudar

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Manchester United, Andy Cole menyifatkan Jose Mourinho masih pengurus yang perlu dihormati walaupun sedang bergelut dalam membawa The Red Devils kembali pada zaman kegemilangannya.

Menurut pemain yang pernah membantu United meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak lima kali itu, semua pemain dan pegawai harus sentiasa memberi kerjasama kepada pengurus yang terkenal dengan julukan 'Yang Teristimewa' itu.

"Mourinho adalah Mourinho, semua orang menghormatinya sebagai seorang pengurus pasukan. Sekarang era yang berbeza, United dilihat sedang bergelut, jadi kita tunggu untuk musim seterusnya," katanya pada majlis kerjasama antara Cadbury dan EPL, hari ini.

Jelasnya, United perlu menunjukkan peningkatan dan musim ini sangat sukar buat juara Liga Juara-Juara 1999 itu dalam saingan EPL.

"Saya juga tidak tahu apa yang berlaku dalam pasukan (hubungan antara Mourinho dan pemain) kerana saya orang luar seperti anda. Jadi, kita hanya perlu tunggu dan lihat.

"Seperti saya katakan tadi, saya tidak boleh putuskan kedudukan Mourinho. Memang dari segi saingan liga, United ketinggalan jauh dengan Manchester City tapi untuk Piala FA mereka akan beraksi di separuh akhir," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Paul Pogba yang turut menghadirkan kegusaran jurulatih kebangsaan Perancis Didier Deschamps, Cole berkata, pemain berusia 25 tahun itu memang mempunyai kemahiran luar biasa namun sedikit bergelut selepas mengalami kecederaan.

"Jika dia berjaya mengulangi pencapaian seperti berada di Juventus, ia sangat bagus untuk pasukan. Bagaimanapun, sebagai pemain profesional kecederaan akan membuat seseorang pemain berdepan saat jatuh dan bangun. Apa yang perlu dia lakukan ialah mencari semula keyakinan kerana dia masih muda," katanya.

Cole yang pernah beraksi di pentas antarabangsa bersama England sebanyak 15 kali juga menyatakan bahawa peluang pasukan bimbingan Gareth Southgate di Piala Dunia Russia 2018 sangat sukar berikutan kehadiran skuad gergasi.

"Ramalan saya, jika berjaya sehingga ke suku akhir mereka sudah mencatat satu keputusan yang baik," kata Cole yang juga pernah beraksi bersama Arsenal, Newcastle United dan Blackburn Rovers itu.

15 dibaca
BEKAS penyerang Manchester United, Andy Cole (kanan) akui Mourinho masih pengurus yang perlu dihormati. - Foto Bernama
Berita Harian X