Rabu, 21 March 2018 | 3:53pm
JURULATIH Malaysia, Tan Cheng Hoe tak pandang rendah keupayaan pemain Mongolia. - Foto Luqman Hakim Zubir

Awas semangat Genghis Khan!

PETALING JAYA: "Pemain Mongolia mewarisi asid deoksiribonukleik (DNA) Genghis Khan, jadi mereka juga pejuang!," tegas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Justeru, Cheng Hoe mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan pemain Mongolia walaupun skuad Harimau Malaya menduduki ranking lebih baik iaitu tangga ke-178 dunia berbanding lawan 189.

Malah, Cheng Hoe perlu berwaspada memandangkan beliau tidak memiliki begitu banyak maklumat mengenai kekuatan Mongolia, apatah lagi lawan itu kini mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Micheal Weiss.

"Saya lihat Mongolia serius apabila menjalani latihan dua minggu di China sebagai persiapan menentang kita. 

"Jadi, pemain tidak boleh memandang rendah Mongolia. Mungkin mereka kekurangan daripada segi teknik tetapi lawan mempunyai semangat juang tinggi.

"Berdasarkan sejarah, orang Mongolia ada DNA Genghis Khan yang juga seorang pejuang dan penakluk. Justeru, sudah pasti pemain mereka mewarisi semangat juang itu," katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Anak buah Cheng Hoe akan melayan lawan itu pada aksi persahabatan kelas A di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebelum mengharungi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Beirut, Selasa depan.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengakui beliau enggan meletakkan tekanan ke atas anak buahnya meskipun sedang berdepan kemarau kemenangan sejak kali terakhir menewaskan Kemboja 3-2 pada Piala AFF, November 2016.

"Ini aksi persahabatan pertama skuad kebangsaan pada 2018 dengan pemain menjalani latihan singkat. Namun, saya percaya dan positif dengan kemampuan semua pemain yang melapor diri kali ini.

"Ini peluang terbaik kita untuk membuka lembaran baharu skuad kebangsaan dan soal prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, kita perlu lupakan kerana kita kini perlu memandang ke hadapan.

"Saya mengharapkan pemain turut berfikiran positif dan bersemangat. Apa yang penting mereka dapat menikmati aksi antarabangsa ini," katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan pemain berdarah kacukan, Kiko Insa yang terpaksa diketepikan akibat jangkitan mata sebelum ini sudah pulih sekali gus boleh beraksi.

100 dibaca
Berita Harian X