Ahad, 18 March 2018 | 11:31am
MAURICIO POCHETTINO

Silap lagi baik dari 'mimpi ngeri' - Pochettino

SWANSEA: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino melabel penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) di Piala Dunia 2018 sebagai 'mimpi ngeri' selepas skuad kendaliannya terus dipalit kontroversi membabitkan teknologi itu dalam kancah Piala FA.

Spurs melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan 3-0 di Swansea, semalam dengan Christian Eriksen meledak dua gol bagi melupakan ketiadaan penyerang berbisa, Harry Kane yang dipalit kecederaan.

Begitupun, ia tidak menghalang Pochettino daripada mengkritik VAR susulan penangguhan panjang keputusan untuk tidak membenarkan jaringan Son Heung-Min kerana ofsaid yang membantu Spurs mendahului 1-0.

"Ia adalah mimpi ngeri. Saya merasa kasihan terhadap orang yang cuba untuk menggunakan sistem itu," kata Pochettino.

"Saya fikir saya lebih menggemari apabila pengadil dan pembantunya melakukan kesilapan berbanding perlu menunggu tiga ke empat minit untuk banyak perkara."

Spurs berdepan lebih banyak dilema membabitkan penggunaan VAR berbanding pasukan lain di England dengan kemenangan 6-1 ke atas Rochdale sebelum ini turut dipalit kontroversi ulangan rakaman video.

Semalam, Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino memberikan lampu hijau untuk penggunaan VAR di Piala Dunia di Russia sekali pun mendapat bantahan daripada sesetengah pihak.

VAR digunakan secara menyeluruh di kebanyakan liga utama Eropah musim ini antaranya Jerman dan Itali tetapi di England, ia hanya membabitkan saingan piala.

"Kita kini perlu melihat kepada realiti bagaimana ia boleh mengganggu staf di garisan padang dan juga pegawai," kata Pochettino.

"Ia begitu rumit, tetapi apa yang paling buruk bagi saya ialah kesannya terhadap peminat. Ia akan menjadi masalah yang besar di masa depan. Kita akan lihat apa yang berlaku di Piala Dunia."

Kemenangan di Wales membantu Spurs untuk terus berpeluang menjulang piala di bawah kendalian Pochettino dengan kali terakhir kelab dari London itu menjulang trofi ialah pada 2008 tatkala kedua-dua aksi separuh akhir berlangsung di laman mereka, Wembley. - AFP

Berita Harian X