Sabtu, 17 March 2018 | 3:36pm
DEL Potro mara separuh akhir selepas menewaskan Kohlschreiber. -Foto AFP

Raonic, Del Potro berentap di separuh akhir

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Bintang tenis Kanada, Milos Raonic yang dipalit kecederaan pada 2017 menempah tiket separuh akhir Masters Jelajah ATP Indian Wells selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Sam Querrey, hari ini.

Kemenangan Raonic, 27, ke atas Querrey 7-5, 2-6, 6-3  itu adalah yang keempat tahun ini dan dia dijadual bertemu 'raja kebangkitan' dari Argentina Juan Martin Del Potro di peringkat empat terbaik, awal pagi esok.

Del Potro mara ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber 3-6, 6-3, 6-4.

"Saya amat gembira saya mampu menyempurnakannya dengan baik pada hari ini," kata Raonic. "Saya berada di separuh akhir. Saya gembira dengan keputusan ini. Saya tahu saya boleh bermain dengan lebih baik."

Raonic berjaya melangkah ke final di Indian Wells pada 2016 tetapi tidak beraksi pada tahun lalu susulan kecederaan.

"Ia seperti bencana," katanya mengulas kecederaan yang dialaminya. 

Del Potro yang pernah memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada 2009 jelas bersimpati dengan kecederaan yang menimpa Raonic itu sekalipun dia tampak berada di landasan terbaik untuk menjuarai gelaran kedua berturut-turut.

"Dia mempunyai segala-galanya untuk kembali berada di puncak," katanya. "Permainannya bagus. Servisnya amat kuat. Dia pemain yang baik. Jadi dia hanya memerlukan beberapa minggu untuk memperbaiki rankingnya dan berada di mana sepatutnya dia berada."

Dalam perseorangan wanita pula, pemain Russia, Daria Kasatkina menewaskan pemain ketiga yang berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia secara berturut-turut apabila mara ke final Masters Jelajah WTA Indian Wells dengan menyingkirkan Venus Williams 4-6, 6-4, 7-5. - AFP

Berita Harian X