Jumaat, 16 March 2018 | 11:40pm
PEMAIN TFC,Abdul Malik Mat Ariff (kiri) mengawal bola selepas diasak pemain Selangor pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi. - Foto Rozainah Zakaria

The Red Giants lunas dendam

KUALA TERENGGANU: Selangor melangkah bergaya ke saingan suku akhir Piala FA selepas menumbangkan Terengganu FC (TFC) 3-1, dalam aksi pusingan ketiga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, sebentar tadi.  

Lebih manis, The Red Giants bukan sekadar menumbangkan TFC di laman lawan, tetapi turut membalas dendam ketika tewas 1-4 kepada TFC dalam saingan Liga Super sebelum ini, di gelanggang yang sama. 

Dalam pertembungan sebentar tadi, Selangor yang tampil dengan corak permainan tersusun hampir mengejutkan skuad Penyu pada minit ketiga perlawanan, namun kuisan Rufino Segovia dapat dibaca penjaga gol TFC, Mohd Suffian Rahman.

Bagaikan terlena daripada 'tidur' skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim bangkit mengatur gerakan bermula dengan dua percubaan melalui kapten, Tchetche Kipre pada minit kelapan dan ke-10, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan. 

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Kipre bijak melakukan larian pantas melalui serangan balas sebelum melorongkan bola kepada Mohd Shahrul Aizad Zulkufli untuk jaringan pendahuluan pada minit ke-23.

Pelawat yang tampil dengan aksi meyakinkan pada pertembungan kali ini berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Segovia pada minit ke-27, hasil hantaran pemain import kelahiran Indonesia, Ilham Udin Armaiyn. 

Pelawat yang dibimbing pemangku jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir hampir menambah jaringan pada minit ke-30 dan ke-32, sekali lagi melalui percubaan Segovia, tetapi ketangkasan penjaga gol TFC menggagalkan percubaan berkenaan.

Tuan rumah juga berpeluang untuk menambah jaringan menerusi Kipre dan Abdul Malik Mat Ariff, namum kekentalan benteng pertahanan pelawat mengecewakan skuad Penyu. 

Bersambung di babak kedua, tuan rumah memperolehi peluang terbaik pada minit pertama, tetapi gagal disudahkan oleh Abdul Malik, begitu juga percubaan oleh Mohd Shahrul Aizad pada minit ke-58 yang gagal disudahkan dengan jaringan. 

Dua minit berselang, pemain import Selangor, Evan Dimas Darmono meletakkan pasukannya di depan apabila meledak jaringan kedua pada minit ke-60 untuk mendahului 2-1.

Selepas jaringan itu, skuad Selangor semakin bernafsu untuk berjaya menambah derita tuan rumah apabila memperoleh jaringan ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Segovia pada minit ke-69.

Penalti itu dihadiahkan pengadil selepas Joseph Kalang Tie dijatuhkan oleh Fitri Omar.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. 

 

Berita Harian X