Ahad, 11 March 2018 | 12:17am
PEMAIN Kedah, Pablo Pallares Marzo menjaringkan gol pada Liga Super 2018 menentang Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur Cheras. - Foto Saddam Yusoff

KL cipta kemenangan dramatik atasi Kedah

 

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur keluar dari kedudukan terbawah liga selepas kemenangan dramatik 4-3 mengatasi Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras, sebentar tadi.

Skuad ibu kota meledak seawal minit ketiga hasil jaringan Zaquan Adha Radzak yang mengatasi pertahanan Kedah, Khairul Helmi Johari sebelum menewaskan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kedah hanya mengambil masa lapan minit untuk menyamakan kedudukan apabila Pablo Pallares menanduk masuk hantaran lintang Liridon Krasniqi.

Krasniqi kemudiannya meletakkan Kedah 2-1 di depan lima minit selepas babak kedua apabila menyambung hantaran Rizal Ghazali sejurus selepas cubaan Akram Mahinan terkena palang.

Guilherme De Paula menyempurnakan penalti pada minit ke-62 untuk menyamakan kedudukan buat Kuala Lumpur yang juga jaringan pertamanya dalam Liga Super musim ini.

Paulo Josue kembali meletakkan skuad ibu kota di depan pada minit ke-82 sebelum Pallares menyamakan kedudukan seminit dalam masa tambahan.

Namun Kuala Lumpur tidak berputus asa apabila empat minit kemudian Ashri Chuchu meledak melepasi Ifwat.

Berita Harian X