Selasa, 6 March 2018 | 2:03pm
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tunggu saat manis pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini. - FOTO REUTERS

Pochettino nanti saat penting Spurs

LONDON: Mauricio Pochettino berdepan saat penting ketika bos Tottenham itu menyasarkan untuk menyertai barisan pengurus elit dengan mengemudi kejayaan popular menewaskan Juventus pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Sudah lama dilabelkan sebagai pengurus muda dengan masa depan cerah, Pochettino boleh menggunakan Liga Juara-Juara musim ini untuk menyamai kehebatan jarang diraih seperti dilakukan Pep Guardiola, Jose Mourinho dan Diego Simeone.

Sama seperti bekas rakan sepasukannya dari Argentina, Simeone, Pochettino dimahukan oleh sebahagian kelab elit Eropah.

Ketika Simeone menafikan ramalan untuk membimbing Atletico Madrid meraih gelaran La Liga dan Liga Europa, selain mara ke dua final Liga Juara-Juara, Pochettino masih menanti saat untuknya tiba.

Walaupun menerima pujian sepanjang sembilan tahun selaku pengurus bersama Espanyol, Southampton dan kini Tottenham, pengurus berusia 46 tahun itu masih gagal membantu mana-mana kelab itu meraih trofi utama.

Dengan Tottenham berharap untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2011, menewaskan juara Itali itu akan menjadi satu langkah penting buat Pochettino.

Keinginan mencipta kejayaan terus memacunya ke depan dan mengakui dia pernah memikirkan untuk bersara pada usia 50 tahun, pengendal dari Argentina itu kini merancang untuk menikmati karier lebih lama.

"Saya bermula selaku pengurus pada usia 36 tahun, saya kata, 'Okay, saya akan jadi pengurus dan had saya ialah 50'," kata Pochettino.

"Kini saya tidak tahu sama ada saya akan jadi lebih lama seperti Roy (Hodgson) atau (Sir Alex) Ferguson atau Wenger atau saya mungkin akan berhenti sebelum itu.

"Apabila saya melihat bola sepak dan pengurus sentiasa mengkritik sesiapa saja dan melihat bayangan serta cuba mempertahankan diri dan bertarung dengan anda dan berlawan dengan penyokong dan lawan dengan ini. Itu bukanlah kehidupan.

"Saya mahu meningkat dan cuba gembira melakukan kerja saya, tetapi jika saya mahu menderita atau mencipta drama dalam hidup, saya lebih senang pergi dari situ.

"Bola sepak ialah keseronokan. Saat paling senyap saya ialah bila kami akan bersaing. Ia bukan drama. Bagi orang lain ia berbeza tapi bagi saya bola sepak bukan drama - ia keseronokan." - AFP

Berita Harian X