Rabu, 28 Februari 2018 | 5:47pm
KEADAAN terkini bekas penjaga gol kebangsaan, Hamid Ramli yang sedang mendapatkan rawatan di HUSM Kubang Kerian selepas diserang tekanan darah tinggi. - Foto Ihsan Pembaca

Hamid Ramli perlu rehat dua minggu

KOTA BHARU: Jurulatih penjaga gol pasukan Terengganu City FC (TCFC), Hamid Ramli terpaksa berehat selama dua minggu selepas diserang penyakit tekanan darah tinggi, kelmarin.

Anak kedua jurulatih berkenaan, Nur Aini Hamid, 30, berkata, bapanya mengalami tekanan darah tinggi ketika berada di Terengganu dan membuat keputusan untuk pulang ke Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan susulan.

Katanya, keadaan bapanya kini semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian hari ini.

"Dia diserang tekanan tinggi dengan bacaan hampir 200 ketika berada di Terengganu... waktu itu dia sudah dirujuk ke klinik kesihatan di sana sebelum dia sendiri membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di HUSM kelmarin.

"Alhamdulillah keadaannya semakin baik selain tekanan darahnya semakin stabil hari ini cuma kami mahu pastikan dia sihat sepenuhnya sebelum dapat kembali ke padang.

"Abah sekurang-kurangnya perlu rehat dua minggu dan mendapatkan rawatan di hospital selama tiga atau empat hari bermula hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, Nur Aini turut memaklumkan pasukan TCFC turut dijangka melawat bapanya sebaik tiba di Kota Bharu esok bagi menghadapi perlawanan menentang Kelantan, Sabtu ini.

Bekas penjaga gol kelahiran Kota Bharu itu pernah menyarung jersi kebangsaan pada era 70an dan beraksi mewakili negara di Pestabola Merdeka ketika Malaysia muncul juara pada 1976 dan 1979.

15 dibaca
Berita Harian X