Isnin, 26 Februari 2018 | 9:48am
GRIEZMANN (kiri) lakar hatrik ketika Atletico menentang Sevilla. FOTO/AFP

Hatrik Griezmann bantu Atletico belasah Sevilla

MADRID: Penyerang berbisa Perancis, Antoine Griezmann melakar hatrik ketika membantu Atletico Madrid membelasah Sevilla 5-2 sekali gus mengurangkan jurang mata dengan pendahulu La Liga kepada tujuh mata.

Keputusan itu juga memberi perangsang kepada Manchester United, yang akan berdepan Sevilla dalam saingan kedua Liga Juara-Juara bulan depan selepas aksi pertama menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Bekas bintang Chelsea, Diego Costa membuka jaringan sebelum tamat babak pertama selepas berjaya memperdaya benteng Sevilla.

Penjaga gol, Sergio Rico cuba menyepak bola kepada Ever Banega di luar petak penalti tetapi kesilapannya dihidu Costa yang kemudian menggelecek bola melepasi penjaga gol itu.

Sevilla meraih banyak peluang jaringan dengan menyaksikan penyerang Colombia, Luis Muriel beberapa kali mencuba namun dinafikan dengan kemas oleh penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Tiga minit menuju masa rehat, Griezmann menjaringkan gol pertama selepas melepasi tiga pertahanan lawan.

Bermula babak kedua, Griezmann menambah jaringan untuk mendahului 3-0, selepas dia menyempurnakan penalti pertama La Liga selepas Costa dijatuhkan oleh Rico.

Sevilla kian menderita apabila giliran Koke menjaringkan gol untuk mendahului 4-0 selepas kekalutan benteng sebelum Griezmann melengkapkan hatrik pada minit ke- 80 sekali gus mencatat 11 jaringan dalam La Liga setakat ini.

Cubaan barisan tuan rumah menebus aib berhasil menerusi gol Pablo Sarabia dan Nolito yang masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh lima minit sebelum tamat perlawanan. - AFP

Berita Harian X