Ahad, 25 Februari 2018 | 11:30pm
PEMAIN PKNS, Romel Oswaldo Morales Ramirez (kiri) mengekang Baddrol Bakhtiar (tengah) pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi. - FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kedah ranap impian PKNS FC

SHAH ALAM: Kedah meranapkan impian PKNS FC untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini apabila mencatat kemenangan 4-3 dalam aksi Liga Super penuh dramatik di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Kemenangan itu adalah yang kedua berturut-turut diraih skuad Helang Merah selepas menang tipis 1-0 ke atas pendatang baharu Liga Super, PKNP FC pada 11 Februari lalu, sekali gus mengumpul enam mata hasil daripada empat perlawanan.

Pada aksi sebentar tadi, Kedah yang dilihat lebih banyak menyerang hampir berada di depan pada minit ke-30, namun sepakan percuma menarik Baddrol Bakhtiar sekadar singgah di palang gol.

Hanya seminit selepas itu, PKNS mengejutkan pelawat apabila Faris Ramli yang bijak membuat larian solo sebelum melakukan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Liridon Krasniqi menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 selepas Akhyar Rashid dijatuhkan Qayyum Marjoni Sabil.

PKNS hanya memerlukan seminit selepas babak kedua bersambung apabila rembatan deras Mahali Jasuli berjaya menewaskan Ifwat buat kali kedua.

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah cuba bangkit mengatur serangan dan usaha mereka berhasil apabila Liridon sekali lagi menyamakan kedudukan selepas rembatannya dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Shahril Saari pada minit ke-57.

Malah, Kedah berada di depan buat kali pertama pada minit ke-69 apabila pertahanan PKNS, K Reuben tertampan bola hantaran Baddrol ke gawang sendiri.

Tiga minit kemudian, PKNS berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Amirul Izwan Yaacob, namun sepakan lemah Rafael Ramazotti berjaya diselamatkan Ifwat.

Ketika perlawanan seakan bakal berkesudahan dengan keputusan 3-2, Muhammad Ariff Farhan Md Isa bagaimanapun menambah gol keempat Kedah pada masa kecederaan sebelum disusuli jaringan ketiga PKNS yang disumbangkan Mahali, dua minit kemudian.

Berita Harian X