Sabtu, 24 Februari 2018 | 12:03am
SUNDAY Wasiu (kanan) cuba melepasi pertahanan UiTM FC pada aksi Liga Perdana 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA

UiTM FC tambah derita TFC II, Felcra, MISC-MIFA terikat

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) terus buntu merakam kemenangan sulung apabila tewas 2-3 di laman sendiri  kepada UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pelawat terlebih dulu mengejutkan tuan rumah hasil tandukan pemain importnya, Bakary Dao menewaskan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang pada minit ke-16.

Sejurus jaringan itu, TFC II yang belum mencatat sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan cuba bangkit, namun gagal menembusi kubu pihak lawan.

Pada minit ke-19, pelawat hampir menambah gol kedua tetapi mujur penjaga gol, Amierul Hakimi sempat menyelamatkan gawangnya susulan rembatan Sadam Hashim.

Akanni Sunday Wasiu menceriakan kem TFC II apabila menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti selepas dijatuhkan pemain pertahanan UiTM FC pada minit ke-34.

Begitupun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pelawat kembali mendahului menerusi penyerang import kelahiran Argentina, Lucas Ramon Pugh yang menampan bola rembatan Dao minit ke-37.

Sunday Wasiu sekali lagi menjadi penyelamat apabila menanduk masuk gol kedua berpunca sepakan sudut Mohd Haidhir Suhaini pada masa tambahan babak pertama..

Bersambung babak kedua, pelawat melancarkan serangan awal menerusi percubaan Pugh yang mudah ke dakapan Amierul Hakimi minit ke-46.

Pada minit ke-58, Sunday Wasiu terlepas mencipta hatrik apabila hantaran lintang Bruno Junichi Suzuki ditanduk lemah kepada penjaga gol UiTM FC, Mohamad Soffuan Tawil.

Pugh yang pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Argentina bawah 17 tahun muncul pemusnah apabila meledak gol kemenangan dengan memperdayakan pemain pertahanan sebelum mudah menolak masuk jaringan minit ke-80. 

Sementara itu, satu lagi perlawanan Liga Perdana yang berlangsung di sebelah malam membabitkan Felcra FC dan MISC-MIFA terpaksa dimulakan lebih lewat daripada jadual asal susulan hujan lebat dan petir di Stadium Shah Alam.

Tanpa sebarang jaringan terhasil sepanjang babak pertama, MISC-MIFA terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Kpah Sean pada minit ke-51.

Ketika perlawanan tampak memihak pelawat, Felcra FC jelas tidak mahu mengalah apabila menyamakan kedudukan juga menerusi awang import, David Laly dua minit sebelum permainan berakhir untuk kedudukan seri 1-1.

 

 

Berita Harian X